KUALA LUMPUR 18 Julai - Kepentingan Selat Melaka sebagai laluan ekonomi dunia menyaksikan kawasan perairan ini membentuk jalur pelayaran strategik antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.
Menjadi antara laluan pelayaran tersibuk dunia, lebih 80,000 kapal kargo dan kapal minyak melalui Selat Melaka dari barat ke Timur setiap tahun.
Bagi menjamin laluan dagangan yang selamat kepada ekosistem maritim, skop keselamatan perairan ini terus diperkukuh menerusi pelbagai pendekatan.
Laluan yang sempit selain peningkatan jumlah kapal saban tahun menjadikan pemantauan keselamatan maritim semakin mencabar dan kompleks.
Latihan Perang Pangkor adalah satu daripadanya bertujuan memperlihatkan kehadiran aset pertahanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disamping melindungi kepentingan maritim di perairan tersebut.
Latihan ini yang dahulunya dikenali sebagai Pangkor War Excercise bertujuan untuk menguji tahap pengoperasian kapal, sistem dan persenjataan.
Terbaru, Latihan Perang Pangkor Siri 1/2023 dilaksanakan pada 13 dan 14 Julai lalu sebagai kesinambungan latihan kesiagaan bagi Armada Barat TLDM melibatkan enam buah kapal perang.
Antaranya KD Mahawangsa, KD Lekiu, KD Gagah Samudera, KD Laksamana Hang Nadim, KD Laksamana Tun Abdul Jamil dan KD Jerai.
Selain kapal, turut mengambil bahagian dalam latihan adalah helikopter Fennec dan bot ronda laju (FAC) TLDM serta pesawat pejuang Hawk TUDM sebagai elemen sokongan.
Latihan ini merupakan sebahagian daripada penugasan Armada Barat dalam menentukan tahap kesiagaan dan keupayaan aset serta warganya sentiasa pada tahap tertinggi.
Pelbagai bentuk latihan telah disusun teliti bagi menguji keupayaan Armada Barat termasuklah aspek navigasi, komunikasi, ilmu kelautan dan peperangan maritim.
Turut dilaksanakan ialah keselamatan kapal menerusi latihan mengawal kerosakan dan melawan kebakaran.
Aspek ini dinilai bagi menentukan kru kapal-kapal terlibat mampu menangani semua bentuk kerosakan atau ancaman kemusnahan akibat serangan musuh.
Latihan kesiagaan sebegini merupakan pendekatan efektif dalam mengekalkan profesionalisme warga di samping kesiagaan kapal Armada Barat TLDM. - DagangNews.com