Lawan cetak rompak, Astro saman hotel, restoran manakala penjual kotak TV android didakwa | DagangNews Skip to main content

Lawan cetak rompak, Astro saman hotel, restoran manakala penjual kotak TV android didakwa

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Feb - Astro mengambil tindakan undang-undang ke atas dua entiti perniagaan setelah didapati menyiarkan kandungan hak cipta syarikat itu tanpa kebenaran dan lesen.

 

Saman sivil tersebut difailkan Astro di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas premis makanan yang terletak di Kuala Lumpur dan hotel butik di Cameron Hinghlands dalam usahanya untuk memerangi cetak rompak.

 

Susulan tindakan mahkamah itu, kedua-dua pemilik perusahaan tersebut kemudiannya bersetuju membayar ganti rugi masing-masing sebanyak RM55,000 kepada Astro.

 

Kedua-dua perusahaan itu juga bersetuju menerbitkan permohonan maaf secara terbuka di media dan memberikan aku janji untuk berhenti daripada melanggar hak cipta Astro dalam apa cara sekalipun. 

 

Menurut Astro, Perintah Persetujuan telah dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam prosiding kes berkenaan pada 17 dan 19 Januari 2024.

 

"Kedua-dua premis perniagaan itu juga telah bersetuju dengan langganan komersial Astro bernilai RM53,000 secara keseluruhannya," kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

 

Penayangan kandungan hak cipta Astro kepada orang ramai di premis perniagaan tanpa kebenaran adalah satu tindakan pelanggaran hak cipta menurut Seksyen 36 Akta Hak Cipta 1987.

 

Tuntutan sivil Astro terhadap dua entiti perniagaan tersebut adalah berdasarkan duluan dalam keputusan penting Mahkamah Tinggi bahawa adalah salah untuk premis komersial menayangkan kandungan Liga Perdana Inggeris daripada sumber yang tidak dibenarkan, termasuk siaran Astro tanpa lesen komersial.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jurujual didenda RM33,000 jual kotak TV android dengan pra kandungan Astro

 

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Astro berkata, seorang jurujual didenda RM12,000 pada 16 Februari lalu setelah mengaku bersalah menjual kotak TV pra kandungan Astro yang tidak dibenarkan di bawah Seksyen 43 AA (1) (2) Akta Hak Cipta 1987.

 

Mahkamah Sesyen Ampang juga memerintahkan lelaki tersebut, Teh Wei Seng, 26, dipenja 6 bulan jika gagal membayar denda.

 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 Mac 2023 di sebuah kedai di Ampang, Selangor di mana Wei Seng didapati memiliki 3 kotak TV Android yang mana dua daripadanya telah dimuatkan dengan kandungan Astro yang tidak dibenarkan.

 

Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong mengalu-alukan hasil positif daripada tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak yang menayangkan kandungan secara tidak sah.

 

"Astro menghantar isyarat bahawa langkah tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan cetak rompak.

 

"Cetak rompak amat menjejaskan keupayaan untuk terus melayani peminat kandungan Astro dan menghakis keupayaan kami untuk membuat pelaburan selanjutnya dalam kandungan premium untuk rakyat Malaysia,” katanya.- DagangNews.com