KUALA LUMPUR 21 Sept - Lazada bekerjasama dengan Perbadanan Digital Ekonomi Malaysia (MDEC) untuk menganjurkan Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) @DE Dagang demi membantu mendigitalisasikan dan membangunkan perniagaan 100,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Ia merupakan sebahagian daripada Program Perdagangan Digital Keluarga Malaysia (DE Dagang), inisiatif strategik bagi merangsang pemulihan ekonomi di samping memacu pertumbuhan ekonomi digital Malaysia khususnya sektor sasaran DE Dagang iaitu Pelancongan dan Kraf, Halal dan Pertanian, serta sektor-sektor lain yang relevan.
Inisiatif ini juga dapat membolehkan jutaan rakyat Malaysia untuk mendapatkan produk pada harga berpatutan dan berbaloi, serta menebus baucar insentif, seperti baucar penghantaran percuma, baucar pembelian Lazada, Lazada Bonus dan diskaun, bermula September ini sehingga Disember 2022.
Usaha tersebut akan menyumbang kepada objektif Lazada untuk program DE Dagang bagi membawa lebih ramai peniaga baharu ke platform e-dagang dan infrastruktur e-pembayaran.
Ia juga bagi memperluaskan sokongan strategik kepada peniaga tempatan sedia ada, di samping menggalakkan penyertaan mereka dalam kempen komersial yang dapat membantu meningkatkan prestasi jualan, serta mengoptimumkan pertumbuhan perniagaan dan pembelian pelanggan.
Di samping itu, Lazada University pula menawarkan peluang upskilling kepada para peniaga tempatan untuk meningkatkan kemahiran menjual kepada pembeli dalam talian menerusi Masterclass dan pelbagai bentuk latihan.
Pada masa sama, Lazada akan mempromosikan penjualan produk buatan Malaysia, serta menyerlahkan jenama tempatan dan perkhidmatan yang ditawarkan usahawan tempatan kepada para pelanggan di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Alan Chan berkata, Lazada amat berbesar hati dilantik oleh MDEC sebagai salah satu rakan e-dagang bagi JMKM @ DE Dagang.
"Tahun-tahun yang lepas telah membuktikan bahawa e-dagang bukan hanya merupakan talian hayat untuk menampung perniagaan pada masa mencabar, tetapi juga mampu memungkinkan pertumbuhan dan ia penuh dengan kebarangkalian yang dapat membangunkan perniagaan tempatan.
"Bagi Lazada Malaysia, keutamaan kami adalah untuk memperkasakan perusahaan PMKS, justeru memperkembangkan perniagaan dalam talian dan meningkatkan daya saing mereka, di samping membolehkan para pelanggan mengakses produk berkualiti pada harga berpatutan.
"Kami percaya bahawa e-dagang akan terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi digital dan mewujudkan peluang untuk komuniti setempat dan perniagaan tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com