Lazada tawar pelbagai aktiviti untuk pengguna sempena ulang tahun ke-10 | DagangNews Skip to main content

Lazada tawar pelbagai aktiviti untuk pengguna sempena ulang tahun ke-10

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Mac - Lazada menyambut ulang tahunnya yang ke-10 dengan pelbagai acara dan aktiviti sepanjang tahun buat seluruh rakyat Malaysia, termasuk memperkenalkan Time Machine peribadi.

 

Para pengguna boleh menentukan 1 daripada 9 profil pembeli unik yang sepadan dengan mereka, bagi memperlihatkan maklumat gaya hidup terkini dan mengumpulkan hadiah Ulang Tahun Ke-10 Lazada apabila mereka berkongsi profil #MyLazadaTimeMachine di saluran media sosial masing-masing.

 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Lazada, Raymond Yang berkata, misi melonjakkan pertumbuhan ekonomi Asia Tenggara merupakan satu matlamat utama Lazada sejak ia ditubuhkan serta tampil sebagai perintis e-dagang di rantau ini. 

 

Beliau berkata, sempena ulang tahun ke-10 tahun, mereka juga meraikan perniagaan dan komuniti yang setia bersama platform itu kerana keyakinan mereka telah membolehkan Lazada untuk memainkan peranan penting dalam kehidupan harian para pengguna di Asia Tenggara. 

 

"Fungsi Time Machine dalam aplikasi merupakan cara kami untuk mengimbas kembali saat-saat indah bersama para pelanggan selama ini.

 

"Kami juga akan sentiasa komited terhadap matlamat kami untuk menjana pertumbuhan mampan di seluruh ekosistem dan menambah nilai kepada kehidupan para pengguna, termasuk melabur untuk membina keupayaan tempatan, memberi peluang kepada penjual untuk menjana pendapatan dan juga menambah baik pengalaman pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Saluran LazLive Lazada akan menyiarkan rancangan penstriman langsung tanpa henti selama 10 jam, yang menjanjikan hadiah eksklusif dan persembahan selebriti dalam acara Super Party unik, sambil menghitung detik menjelang Jualan Ulang Tahun Ke-10 Epik Lazada bermula pada tengah malam 27 Mac. 

 

Parti Penstriman Langsung Ulang Tahun Ke-10 Epik Lazada akan diadakan pada 26 Mac dari 2 petang hingga 12 tengah malam, termasuk persembahan istimewa penstriman langsung khas dengan lebih 100 tawaran epik eksklusif untuk dimenangi, dan juga baucar-baucar bernilai RM80,000 dan Kotak Kejutan Ulang Tahun Epik istimewa yang pastinya menjadi rebutan penonton bertuah. 

 

 

lazada

 

 

Semua aktiviti yang diatur khas merupakan pendahuluan kepada Lazada Super Party yang amat dinantik-nantikan, dengan membawakan persembahan barisan penyanyi terkenal Malaysia seperti Ziana Zain, Dolla, Aina Abdul, dan Khai Bahar. 

 

Lazada Super Party juga menampilkan dua selebriti paling ‘meletup’ di Malaysia iaitu Nabila Razali dan Nora Danish, yang kedua-duanya merupakan Duta Jenama Lazada. 

lazada

 

 

Lazada juga telah meraikan kejayaan 18 penjual wanita cemerlang di acara tahunan Anugerah Wanita Terulung Lazada ke-2, yang diadakan baru-baru ini sempena Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac. 

 

Anugerah tersebut meraikan pencapaian para penerima anugerah yang telah berjaya mencari kelainan serta bijak memaksimumkan peluang, mencabar kelaziman sosial dan mengembangkan perniagaan masing-masing menerusi platform Lazada. - DagangNews.com