LBS akan lancar 14 projek bernilai RM1.77 bilion pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

LBS akan lancar 14 projek bernilai RM1.77 bilion pada tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jun - LBS Bina Group Berhad berada di landasan terbaik untuk melancarkan 14 projek bernilai RM1.77 bilion tahun ini bersandarkan kepada situasi yang menggalakkan dalam pasaran hartanah.

 

Pengerusi Eksekutif LBS,  Tan Sri Lim Hock San berkata, projek berkenaan melibatkan kawasan sekitar Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak.

 

"Kami telah melihat peningkatan yang menggalakkan dalam pasaran hartanah selepas ekonomi mula mencatatkan pemulihan.

 

"Berdasarkan kepada data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia, permohonan pinjaman terkumpul untuk pembelian hartanah pada suku pertama 2022 meningkat 4.06% dari tahun ke tahun.

 

"LBS berada pada kedudukan terbaik untuk melancarkan projek bernilai RM1.77 bilion pada 2022 di sekitar Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak. 

 

Pada masa sama, beliau menyifatkan tahun 2021 merupakan tahun yang cukup bermakna buat LBS.

 

"Kami berharap untuk terus fokus kepada perniagaan kami selaras dengan pemberian dividen yang konsisten agar pemegang saham terus mempercayai kami.

 

"Kami kekal berhati-hati dalam mengharungi 2022 di tengah-tengah pemulihan ekonomi dan berharap untuk meningkatkan nilai pegangan sambil memacu perkembangan LBS," katanya.

 

Sehingga 15 Jun 2022, LBS merekodkan jualan hartanah sebanyak RM816 juta dengan tempahan semasa sebanyak RM683 juta.

 

Pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kumpulan itu, kesmeua 11 usul yang dibentangkan telah diterima dan diluluskan oleh pemegang sahamnya.

 

Ini termasuk dividen akhir sebanyak 1.00 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21).

 

Sebagai tambahan kepada dividen interim pertama LBS sebanyak 0.85 sen sesaham, yang diumumkan pada 15 April 2022, jumlah dividen untuk FY21 berjumlah 1.85 sen sesaham.

 

Dividen interim pertama dan dividen akhir akan dibayar pada 14 Julai dan 15 September 2022. - DagangNews.com