LBS Bina gagal capai sasaran RM2 bilion bagi jualan hartanah pada FY23 - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

LBS Bina gagal capai sasaran RM2 bilion bagi jualan hartanah pada FY23 - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - LBS Bina Group Bhd gagal mencapai sasaran jualan hartanah RM2 bilion bagi FY23 selepas hanya merekodkan sejumlah RM1.7 bilion pada tahun kewangan itu.

 

RHB Investment berkata, kegagalan itu berpunca daripada penangguhan tiga pelancaran hartanah.

 

"Bagaimanapun bagi FY24, kumpulan itu menyasarkan jualan sebanyak RM1.8 bilion. Jualan yang belum dibil kekal tinggi iaitu RM2 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan untuk beberapa tahun akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Pendapatan syarikat pembinaan dan hartanah itu turut meningkat sebanyak 6% kepada RM1.8 bilion pada FY23 berbanding RM1.7 bilion sebelumnya.
 

Untung bersih kumpulan itu didorong segmen pembinaan dan perdagangan yang mencatat untung bersih sebanyak RM35.78 juta pada FY23, melonjak hampir tiga kali ganda berbanding RM12.98 juta yang dicatat pada FY22 manakala pendapatan segmen meningkat 45% kepada RM856.7 juta daripada RM589 juta sebelumnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: LBS Bina catat untung bersih 9% lebih tinggi sebanyak RM140 juta pada FY23

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu terlibat dengan 19 projek dan merancang untuk menlancarkan lagi 10 projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.3 bilion pada FY24.

 

Katanya, projek D' Island Residence di Selangor menjadi projek terbesar dengan GDV RM517 juta dan Bayu Hills Genting (GDV: RM425 juta).

 

"Bagi projek-projek yang sedang berjalan, kadar pengambilan purata kekal sihat iaitu sekitar 79% manakala pembangunan utamanya iaitu KITA @ Cybersouth, mempunyai purata kadar pengambilan sebanyak 70%," katanya.

 

RHB Investment bagaimanapun kekal positif terhadap kedudukan LBS sebagai peneraju dalam segmen perumahan mampu milik, keadaan dicerminkan menerusi kadar pengambilan yang tinggi dan jangkaan projek baharu yang sihat.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 82 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com