LBS Bina rancang projek baharu dengan GDV lebih RM2 bilion tahun ini, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

LBS Bina rancang projek baharu dengan GDV lebih RM2 bilion tahun ini, kata RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Feb - RHB Investment Research optimis projek baharu LBS Bina Group Berhad dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM2 bilion akan menyumbang kepada pendapatan kumpulan untuk beberapa tahun akan datang.

 

Pada tahun ini, kumpulan tersebut merancang untuk melancarkan 12 projek baharu iaitu KITA@Cybersouth (RM418 juta GDV), Bayu Hills, Genting (RM482 juta GDV) dan Prestige Residence (RM313 juta GDV). 

 

Menurut firma penyelidikan itu, LBS Bina telah menjana jualan bernilai RM2 bilion pada tahun lepas, 25% lebih daripada sasaran jualan syarikat pada RM1.6 bilion.

 

“Sasaran jualan pada 2023 adalah RM2 bilion dengan jualan RM110 juta yang diraih pada pertengahan Februari," katanya.

 

Kumpulan itu mempunyai jualan belum dibilkan berjumlah RM2.46 bilion pada akhir tahun kewangan 2022 (FY22) yang memberi prospek pendapatan untuk beberapa tahun akan datang.

 

Sebanyak 90% daripada jumlah jualan adalah daripada projek di Lembah Klang, diikuti 5% di Pahang, 3% di Johor dan 2% di Perak, dengan kadar pembelian kekal sihat pada purata 82%.

 

Di dalam notanya hari ini, RHB Investment berkata, peningkatan pendapatan sebanyak 32.8% untuk FY22 adalah sejajar dengan jangkaan pada 96% dan 101% daripada anggaran lengkap dan konsensus firma itu.

 

“Walaupun pendapatan suku keempat merosot 30% suku ke suku (QoQ) disebabkan sumbangan yang rendah daripada projek di peringkat hampir siap, pendapatan FY22 meningkat 26.2% kepada MYR1.72 bilion didorong oleh permintaan berterusan dan projek yang bertambah. 

 

Bagaimanapun, margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sedikit lebih rendah pada 15.6%  disebabkan peningkatan dalam kos bahan binaan dan kekurangan buruh,” katanya.

 

Firma tersebut positif LBS Bina kekal sebagai pemain utama dalam segmen perumahan mampu milik yang sepatutnya memperoleh permintaan tinggi walaupun menghadapi cabaran makroekonomi.

 

Oleh itu, firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 56 sen. -DagangNews.com