Lebih 150 ahli profesional sertai simposium serantau pertama bidang komunikasi perubahan sosial dan tingkah laku di Sabah | DagangNews Skip to main content

Lebih 150 ahli profesional sertai simposium serantau pertama bidang komunikasi perubahan sosial dan tingkah laku di Sabah

(Dari kiri) Robert Dass, pembantu menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir dan Prof Datuk Dr Kasim Mohd Mansur ketika pelancaran simposium SBCC Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada 18 Oktober 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Lebih 150 ahli profesional, pakar dan pemimpin pemikiran dari seluruh dunia menyertai simposium serantau pertama dalam bidang komunikasi perubahan sosial dan tingkah laku (SBCC) mulai 18 dan 19 Oktober 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

 

Program SBCC yang julung kali diadakan ini dianjurkan bersama oleh UNICEF Malaysia dan tiga universiti awam terkemuka iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Wakil UNICEF Malaysia dan Wakil Khas Brunei Darussalam, Robert Gass berkata, simposium ini mengumpulkan pengamal SBCC untuk berkongsi amalan terbaik, meneroka peluang dan membangunkan rumusan mampan bersama komuniti.

 

Katanya, pihaknya berharap dapat memperdalam perkongsian mereka untuk mencapai hasil lebih baik untuk setiap kanak-kanak di rantau ini.

 

"Berpandukan mantra ‘nothing about us, without us’, strategi perubahan sosial dan tingkah laku mempunyai potensi untuk memperkasakan individu untuk membuat pilihan yang melindungi hak mereka, membangunkan komuniti dan menggalakkan daya tahan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, simposium yang berlangsung selama dua hari itu akan menampilkan 17 program yang merangkumi ucaptama, sesi pleno, pembentangan lisan, zon pengalaman, forum, sandbox, sesi meja bulat selari dan majlis penutup.

 

Selain itu katanya, simposium itu turut menampilkan 35 penceramah dari tujuh negara iaitu Malaysia, Vietnam, Laos, Thailand, Singapura, Indonesia dan New Zealand.

 

 

SBCC
Datuk Abidin Madingkir

 

 

Antara penceramah yang terkenal adalah Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Foundation, Mohamad Kamal Nawawi; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Sabah (IDS), Prof Madya Datuk Dr Ramzah Dambul dan personaliti media, Kamarul Bahrin Haron.

 

"Ketiga-tiga penceramah tersebut merupakan ahli panel untuk sesi plenari bertajuk "Kepelbagaian Suara, Perkongsian Wawasan: Strategi Kolaboratif SBCC", yang dijadualkan pada hari pertama simposium," jelasnya.

 

Menurut Robert Gass, Simposium Serantau SBCC Asia Pasifik 2023 mempunyai matlamat untuk membuka peluang pelaburan SBCC di rantau ini, dan mengukuhkan rangkaian SBCC bersama pelbagai pihak berkepentingan, rakan kongsi strategik dan pemain utama di rantau ini bagi menghasilkan pembangunan mampan.

 

Sementara itu, Pengarah Program UPM-UNICEF C4D, Dr Tham Jen Sern berkata, biarpun penglibatan tiga universiti awam dalam inisiatif SBCC ini mempunyai keistimewaan tersendiri dengan menampilkan kepelbagaian objektif, namun ketiga-tiga institusi ini mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk menyumbang kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan Malaysia.

 

"Kami bersama-sama berharap program SBCC dapat dapat memberi sinar, peluang dan harapan yang merentasi pelbagai lapisan masyarakat," jelasnya. - DagangNews.com