Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Berdasarkan rekod Sistem Insuran Pekerjaan (SIP), seramai 67,068 rakyat Malaysia terlibat dalam kes kehilangan pekerjaan sejak Januari hingga 31 Julai 2020.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, jumlah yang dicatatkan itu adalah akibat daripada pandemik COVID-19 yang memberi impak besar kepada ekonomi gobal termasuk Malaysia.
"Laporan Kehilangan Pekerjaan (LOE) mengikut pecahan negeri dari Januari hingga 31 Julai 2020 menunjukkan
Selangor mencatatkan jumlah tertinggi kehilangan pekerjaan mengikut pecahan negeri iaitu sebanyak 19,914 orang, diikuti dengan Kuala Lumpur seramai 17,972 orang dan Pulau Pinang seramai 7,426 orang.
"Johor (5,549), Kedah (3,468), Sabah (2,897), Sarawak (2,227), Perak (2,226), Melaka (1,170), Terengganu (746) dan Negeri Sembilan (621)," jelasnya katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Sabri Azit (PAS-Jerai) di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi negeri Kelantan pula, jumlah kehilangan pekerjaan adalah sebanyak 360 orang dan Perlis sebanyak 309 orang.
Manakala Labuan dan Putrajaya masing-masing mencatatkan jumlah seramai 167 dan 73.
Jawapan tersebut diberikan selepas Sabri meminta beliau menyatakan statistik bilangan pekerja yang diberhentikan dalam tempoh Januari hingga Jun 2020 mengikut pecahan negeri.
Selain itu, Sabri turut mememinta beliau menyatakan usaha-usaha yang telah dilakukan kerajaan untuk membantu golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan serta punca pendapatan akibat wabak COVID-19.
Menjawab soalan kedua, Saravanan berkata, kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) serta penambahbaikan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
"Inisiatif yang dilakukan itu adalah untuk membantu majikan agar dapat mengekalkan pekerja mereka dan mengekang daripada berlakunya pemberhentian secara besar-besaran," tambahnya. - DagangNews.com