Lebih 80% kenderaan ditunda dalam banjir tidak miliki insurans perlindungan banjir | DagangNews Skip to main content

Lebih 80% kenderaan ditunda dalam banjir tidak miliki insurans perlindungan banjir

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menunjukkan hanya 4% daripada rakyat Malaysia yang telah membeli perlindungan insurans banjir. - Gambar DagangNews.com

KUALA LUMPUR 14 Jun - Lebih daripada 80% kenderaan yang ditunda dalam kejadian banjir oleh AXA Affin General Insurance Bhd didapati tidak mempunyai perlindungan banjir.

 

Malah, Statistik dari Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menunjukkan hanya 4% daripada rakyat Malaysia yang telah membeli perlindungan insurans banjir.

 

Di sebalik peningkatan yang agak kecil dalam kalangan  mereka yang membeli perlindungan banjir selepas kejadian banjir tahun lalu (3.9% dari pemegang polisi motor  AXA telah memasukkan perlindungan banjir ke dalam polisi motor mereka tahun ini*), ramai rakyat Malaysia masih kurang perlindungan insurans dan mempunyai kesedaran yang rendah terhadap kepentingan insurans banjir.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AXA, Emmanuel Nivet berkata, pada hakikatnya, seseorang hanya sedar tentang kepentingan perlindungan insurans selepas berlakunya sesuatu insiden bila mereka tidak menerima sebarang pampasan atau tidak mempunyai cara untuk menggantikan kerugian atau kerosakan mereka. 

 

Menurut beliau, pemikiran seperti ini mesti diubah kerana insurans bukan mengenai ramalan atau pelaburan, tetapi  langkah  bersedia terhadap risiko luar jangkaan dan memastikan perlindungan kewangan dan ketenangan minda.

 

Beliau berkata, insurans banjir adalah suatu keperluan dan adalah penting untuk menginsurankan kenderaan, kediaman dan harta-harta lain untuk mengurangkan impak kewangan sekiranya berlaku sebarang kecelakaan.

 

“Oleh kerana banjir adalah perlindungan pilihan di bawah polisi motor komprehensif, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk membeli atau menambah pelan insurans  untuk merangkumi bencana banjir atau bencana Khas (yang bukan sahaja melindungi terhadap banjir tetapi melindungi juga ribut, tanah runtuh dan lain-lain bencana semulajadi),’’ kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Perlindungan banjir AXA untuk kenderaan dan kediaman boleh dilanggan terus dari AXA, agennya, rakan kongsi dan pasaran insurans.


 

AXA

 


Jika berlaku banjir, AXA komited untuk menawarkan segala bantuan kepada pemegang polisi dalam memudahkan proses tuntutan, khidmat penundaan percuma , perkhimatan hotline 24 jam dan lain-lain lagi.

 

Di samping itu, untuk memupuk kesedaran yang lebih dan penghayatan tentang insurans banjir, AXA telah melancarkan kempen #BeFloodSmart di atas platfom media sosialnya untuk berkongsi panduan pendidikan dan maklumat tentang banjir dan perlindungan insurans. Sila layari https://www.facebook.com/MYAXAAffin untuk mengetahui lanjut. – DagangNews.com