Lebih 90% kediaman Sime Darby Property, Teja habis ditempah dalam masa 2 hari | DagangNews Skip to main content

Lebih 90% kediaman Sime Darby Property, Teja habis ditempah dalam masa 2 hari

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Projek kediaman berdensiti rendah baharu Sime Darby Property Bhd dikenali sebagai 'Teja' yang terletak di Subang Jaya City Centre (SJCC) berjaya menerima tempahan sebanyak 93% ketika perlancarannya, baru-baru ini.

 

Teja dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM212 juta menawarkan 244 unit pegangan bebas, dengan hampir kesemuanya ditempah dalam masa 48 jam sewaktu pelancaran secara dalam talian.

 

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei berkata, sambutan yang menggalakkan kepada Teja melambangkan dedikasi pihaknya untuk memenuhi keperluan pelanggan.

 

"Keyakinan daripada pasaran ini mengukuhkan komitmen kami untuk memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Selain itu, sebanyak 27 unit apartment servis mampu milik pula dijangka untuk memasuki pasaran tidak lama lagi. 

 

Dengan harga bermula daripada RM680,000, Teja merupakan fasa pembangunan terakhir untuk kediaman berdensiti rendah di SJCC. 

 

Para pembeli terawal Teja akan mendapat kabinet dapur, penyaman udara, kunci digital dan pemanas air secara percuma di kediaman masing-masing sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan semangat mereka terhadap jenama Sime Darby Property.

 

sime darby

 

Teja yang berdekatan dengan Empire Shopping Gallery dan hanya 2 kilometer dari 'parc' (sebelumnya dikenali sebagai Taman Rekreasi Subang Ria), menawarkan penduduk pelbagai kemudahan, termasuk ruang kerja bersama, ruang acara, lokar simpanan barang dan ruang menunggu e-hailing dan barang penghantaran. 

 

Lokasinya yang strategik, berdekatan LRT/KTM Subang Jaya dan LRT SS15, menjamin sistem perhubungan pengangkutan yang cemerlang. 

 

Dalam usaha berterusan untuk mempamerkan inovasi, Sime Darby Property berbangga untuk mengumumkan pelancaran parc secara tentatifnya pada suku ketiga 2023. 

 

sime darby

 

Projek itu dilaksanakan sebagai satu tanda penghargaan terhadap komuniti di Subang Jaya. Ia bertujuan menghidupkan semula ruang kongsi, memupuk hubungan lebih kukuh antara komuniti dan alam semula jadi, serta memperjuangkan kelestarian.

 

sime darby

 

Tambah Lai, diinspirasikan oleh taman komunal dan taman permainan sebelum ini, parc berusaha untuk mewujudkan semula rasa kehidupan secara berkomuniti. 

 

"Parc direka sebagai hub sosial dan alam sekitar bertujuan menjadikan amalan hidup lestari yang penting dalam kehidupan seharian kita," katanya. - DagangNews.com