Lebih ramai rabun akibat skrin, usia dorong perkembangan pesat Focus Point - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Lebih ramai rabun akibat skrin, usia dorong perkembangan pesat Focus Point - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Feb - Pasaran produk cermin mata di Malaysia dijangka merekodkan anggaran kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 5 tahun yang pesat (2024-28F) mencecah 6.6% disebabkan oleh gaya hidup pengguna yang banyak meluangkan masa melihat skrin sehingga membawa kepada masalah penglihatan.

 

RHB Investment Bank berkata, selain gaya hidup, pertambahan peratusan masyarakat menua di negara ini juga telah meningkatkan golongan presbiopia atau sukar membaca dari jarak biasa.

 

Justeru, firma tersebut mengunjurkan perkembangan positif Focus Point Holdings Berhad (FPHB) memandangkan syarikat itu merupakan peneraju pasaran dengan 189 cawangan setakat suku ketiga 2023.

 

"Malah, pelbagai jenis format kedai dilaksanakan supaya memenuhi segala kehendak pengguna yang merangkumi kumpulan pendapatan yang berbeza-beza. Dengan ini, kami menekankan bahawa
perniagaan ini memaparkan pertumbuhan berterusan dan keberuntungan semakin tinggi (margin bersih FY2022 sekitar 15% berbanding purata syarikat pesaing 10%). 

 

"Menuju ke hadapan, kumpulan ini merancang untuk membuka 20 buah kedai termasuk 10 kedai francais pada FY2024 yang akan menyokong ramalan pertumbuhan 12% dan 11% kami dalam pendapatan segmen dan PBT," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Jelas RHB Investment, FPHB diramalkan berkembang pada CAGR 5 tahun 30% untuk mencapai RM40.2 juta pada FY2025.

 

Katanya, perkembangan ini didorong oleh permintaan kukuh untuk barangan optikal dan makanan dan minuman (F&B), pengembangan cawangan kedai, pertumbuhan jualan kedai yang sama (SSSG) baik dan peningkatan penguasaan pasaran. 

 

"Berdasarkan harga sasaran (TP) RM1.02 kami, ia mencatat kiraan P/E FY24F 13.5x dan hal ini selari dengan syarikat runcit pengguna lain yang tersenarai di Bursa Malaysia. 

 

"Hal ini dilihat wajar kerana kedudukannya sebagai peneraju pasaran, pertumbuhan berstruktur dalam industri cermin mata, dan catatan margin dan ROE yang mengatasi purata industri," jelasnya.

 

Kata firma itu, selepas menanggung kerugian sebelum cukai RM1.2 juta pada sembilan bulan pertama 2023, syarikat ini diyakini akan mencatat pemulihan perolehan tidak lama lagi apabila lebihan pekerja telah berjaya diatasi sepenuhnya.

 

Ujarnya, setelah menceburi bidang perniagaan F&B sejak 2012, pihak pengurusan menimba banyak pengalaman dan kepakaran berharga dalam mengurus kedua-dua operasi runcit
F&B dan dapur pusat. 

 

"Oleh itu, kami menanti-nantikan supaya ia meraih perolehan lebih stabil kelak. Antara perancangan diusahakan untuk segmen ini termasuk pelan pengembangan kedai roti Komugi (3-4 buah kedai disasarkan untuk FY24F) dan usaha memperoleh lebih ramai pelanggan korporat untuk memenuhi kapasiti pusat dapurnya (kadar penggunaan kini: 70%). 

 

"Tambahan lagi, ia juga berhasrat untuk melancarkan sebuah jenama yogurt beku memandangkan adanya permintaan yang berkembang dan pulangan keuntungan yang tinggi," katanya. - DagangNews.com