Lebihan akaun 2Q21 Malaysia meningkat kepada RM14.4 bilion | DagangNews Skip to main content

Lebihan akaun 2Q21 Malaysia meningkat kepada RM14.4 bilion

Gambar oleh Esmonde Yong - Unsplash

Gambar oleh Esmonde Yong - Unsplash

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Imbangan Akaun Semasa Malaysia (CAB) mencatatkan lebihan RM14.4 bilion pada suku kedua tahun 2021 (2Q21).

 

Jumlah itu meningkat 17.2% berbanding RM12.3 bilion pada suku sebelumnya.

 

Mengulas perkara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, lebihan tinggi dalam akaun semasa terutamanya didorong oleh prestasi yang baik dalam barangan walaupun difisit perkhidmatan terus meningkat sejak suku tahun kedua 2020 disebabkan penularan wabak COVID-19.

 

Jelasnya, pada suku tahun ini, akaun Barangan meningkat 11.1% untuk mencatat lebihan lebih tinggi sebanyak RM40.7 bilion berbanding RM36.6 bilion pada suku sebelumnya.

 

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin

 

"Prestasi ketara ini dipacu oleh eksport yang lebih tinggi pada RM244.0 bilion, meningkat sebanyak RM18.5 bilion dari suku sebelumnya.

 

"Eksport utama adalah barangan berasaskan Elektrik & Elektronik (E&E), Petroleum dan Getah, terutamanya ke China, Singapura dan USA.

 

"Import barangan juga meningkat sebanyak RM14.5 bilion kepada RM203.4 bilion berbanding suku sebelumnya. Sumber import utama adalah China, Singapura dan Jepun di mana peningkatan import disumbangkan oleh barangan perantaraan," jelas beliau dalam satu kenyataan berkaitan Statistik Imbangan Pembayaran Suku Kedua 2021.

 

Statistik tersebut merekodkan transaksi rentas sempadan antara Malaysia dengan 208 negara di dunia.

 

Mengulas lanjut, beliau menambah, lebihan akaun semasa pada suku tahun kedua itu juga disokong oleh defisit Pendapatan sekunder yang lebih rendah.

 

Jelasnya lagi, pendapatan sekunder mencatatkan defisit bersih berjumlah RM1.4 bilion berbanding RM3.6 bilion pada suku tahun pertama 2021 (1Q21).

 

Perkembangan itu berikutan penerimaan yang lebih tinggi dari luar negara, manakala pembayaran ke luar negara berkurangan disebabkan oleh pengiriman wang keluar lebih rendah susulan daripada penurunan bilangan pekerja asing di Malaysia.

 

"Melihat kepada pretasi perdangan perkhidmatan, import mencatatkan RM36.5 bilion yang secara relatifnya lebih tinggi daripada nilai eksport RM21.1 bilion pada suku tahun 2021.

 

"Ini mengakibatkan defisit lebih tinggi dalam Perkhidmatan yang berjumlah RM15.4 bilion berbanding RM15.0 bilion pada suku sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh Perjalanan dan Pengangkutan.

 

"Situasi di luar jangkaan yang berpanjangan dan semakin teruk susulan lonjakan dalam kes COVID-19 sejak pertengahan Mei tahun ini, sempadan Malaysia masih ditutup untuk ketibaan pelancong antarabangsa," katanya lagi.

 

Sementara itu, dalam konteks kewangan pula, akaun kewangan negara berubah arah kepada aliran keluar bersih berjumlah RM7.0 bilion pada suku tahun ini berbanding aliran masuk bersih RM16.0 bilion pada suku sebelumnya.

 

Situasi itu disebabkan oleh Pelaburan lain yang mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM30.5 bilion, terutamanya pembayaran antara bank yang lebih tinggi ke luar negara.

 

Dalam pada itu, Pelaburan Langsung Asing (FDI) mencatatkan aliran masuk sebanyak RM8.2 bilion pada suku tahun ini, terutamanya dalam bentuk ekuiti dan dana pelaburan saham," ujarnya. - DagangNews.com