Lebihan dagangan diunjur 2.8% daripada KDNK 2020 | DagangNews Skip to main content

Lebihan dagangan diunjur 2.8% daripada KDNK 2020

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Lebih dagangan Malaysia dijangka mewakili 2.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.

CGS-CIMB Research berkata, segmen barangan penggunaan tidak dijangka menjadi sumber sokongan perdagangan, sekali gus membantu ringgit untuk melalui tempoh turun naik pasaran kewangan pada bulan Ogos.

Sehubungan itu, ramalan eksport dan import kasar pada 2020 dikekalkan masing-masing kepada -2% dan -3.5%, bersamaan lebihan dagangan sebanyak RM150 bilion. 

“Ketika permintaan domestik mula pulih, kami menjangkakan import akan meraih momentum, mendorong lebihan dagangan barangan kembali normal pada 2021. 

“Ketika ini, kami fikir Bank Negara Malaysia (BNM) selesa dengan kedudukan dasar monetari dan mungkin menunggu pemulihan ekonomi terutamanya apabila kerajaan mengumumkan dasar lanjut untuk merangsang ekonomi dalam Pelan Pemulihan Jangka Sederhana ke Panjang, Bajet 2021 dan Rancangan Malaysia ke-12.

“Oleh itu, kami meramalkan BNM terus kekal dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada perjumpaan terakhir tahun ini menjelang 3 November 2020,” kata analisis CGS-CIMB.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan lebihan dagangan Malaysia menurun ke paras rendah tiga bulan sebanyak RM13.2 bilion pada Ogos 2020.

Baca : Ogos 2020: Eksport Malaysia merosot 2.9% 

Keadaan itu didorong kemerosotan eksport sebanyak 2.9%, selepas mencatatkan prestasi positif pada Jun dan Julai. 

Tambah CGS-CIMB, penurunan eksport pada Ogos itu didorong oleh antaranya sektor gas cecair asli (LNG) sehingga 49.1% berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Katanya, penurunan harga LNG Asia merosot lebih 50% sejak Januari dan Petronas mempunyai pendedahan tertinggi terhadap pasaran itu dengan hanya separuh daripada kargo syarikat itu menerima kontrak jangka panjang. 

“Ketika Petronas menandatangani 12 tahun tempoh kontrak pada Januari untuk membekalkan LNG kepada Shenergy, penghantaran hanya dapat bermula pada 2022, ini bermakna sekurang-kurangnya lima suku tahunan sebelum Petronas dapat melonggarkan disiplin penawarannya,” kata CGS-CIMB.

Harga LNG Asia baru-baru ini meningkat menjelang permintaan bagi musim salji, tetapi CGS-CIMB menjangkakan pemulihan sektor itu akan mencabar. - DagangNews.com