Leform bermula suram di Pasaran ACE, dibuka lebih rendah daripada harga IPO | DagangNews Skip to main content

Leform bermula suram di Pasaran ACE, dibuka lebih rendah daripada harga IPO

KUALA LUMPUR 30 Nov - Leform Bhd. memulakan penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd. hari ini pada 19.5 sen sesaham, lebih rendah daripada  harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 23 sen.

 

Pada loceng pembukaan, sejumlah 8.38 juta sahamnya telah diniagakan.

 

Syarikat pengeluar dan peniaga keluli itu mempunyai permodalan pasaran RM340.6 juta, berdasarkan modal sahamnya yang diperbesarkan sebanyak 1.48 bilion saham. 

 

Polisi dividen syarikat mengekalkan nisbah pembayaran tidak kurang daripada 20% daripada pendapatan bersih teraudit tahunannya.

 

Pengarah Urusannya, Law Kok Thye berkata, penyenaraian itu adalah sebahagian daripada agenda yang lebih besar untuk meningkatkan Leform ke fasa pertumbuhan seterusnya dalam perjalanan korporat kumpulan.

 

Katanya, sebanyak RM71.5 juta hasil yang diperoleh membolehkan kumpulan melaksanakan rancangan pengembangan perniagaan. 

 

"Walaupun pada masa ini kami mempunyai kapasiti pengeluaran yang mencukupi, tetapi berdepan kekangan dengan ruang penyimpanan. 

 

"Oleh itu, sejumlah besar hasil disediakan untuk menyelesaikan kesesakan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Leform berjaya menjana sejumlah RM71.5 juta daripada IPO, dengan sebanyak RM30 juta akan digunakan untuk membina ibu pejabat baharu, kemudahan penyimpanan gudang dan tempat penginapan pekerja.

 

Sementara itu, sebanyak RM21.9 juta akan diperuntukkan untuk modal kerja manakala RM14.4 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank dan RM5.2 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

MIDF Amanah Investment Bank Bhd. merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi langkah IPO berkenaan. -DagangNews.com