Leform kembali catat untung bersih sebanyak RM1.48 juta bagi 1QFY23 berbanding kerugian bersih RM15.72 juta pada 4QFY22 | DagangNews Skip to main content

Leform kembali catat untung bersih sebanyak RM1.48 juta bagi 1QFY23 berbanding kerugian bersih RM15.72 juta pada 4QFY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Mei - Leform Berhad kembali mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.48 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding kerugian bersih RM15.72 juta pada sukun keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22).

 

Kumpulan itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 18% atau RM15.68 juta kepada RM102.6 juta berbanding suku sebelumnya.

 

Keputusan buruk pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22)  adalah disebabkan oleh margin keuntungan yang lebih rendah apabila harga keluli global menurun.

 

Sementara itu, prestasikumpulan itu pada 1QFY23 juga mencerminkan peningkatan dalam hasil tahun ke tahunnya sebanyak 1.5% atau RM1.51 juta daripada RM101.09 juta kepada RM102.6 juta.

 

Bagaimanapun, untung bersih menurun sebanyak 76.9% atau RM4.93 juta daripada RM6.41 juta pada 1QFY22 kepada RM1.48 juta.

 

"Ia disebabkan oleh perbelanjaan kewangan tambahan berikutan kadar dasar semalaman (OPR) yang lebih tinggi dan lebih banyak kemudahan bank dikeluarkan untuk pembelian inventori dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi," katanya.

 

Pengarah Urusan kumpulan, Law Kok Thye berkata, tidak dinafikan ia merupakan satu perjalanan yang sukar dengan kadar pemulihan ekonomi global yang semakin berkurangan dengan inflasi dan peningkatan kos bahan mentah.

 

Menerusi strategi semasa, pihaknya berjaya mengharungi cabaran dengan kumpulan mencatatkan prestasi positif pada suku ini apabila kami kembali mencatat keuntungan.

 

“Dengan latar belakang optimistik jangkaan penggunaan keluli yang meningkat didorong oleh pemulihan dalam industri pembinaan, kami tidak ragu-ragu dalam melaksanakan pelan pengembangan kami, yang termasuk pembinaan kemudahan penyimpanan gudang baharu untuk meningkatkan kawasan penyimpanan dan kecekapan operasi kami sambil membenarkan kami untuk mengembangkan pelbagai produk kami," katanya.

 

Kumpulan sentiasa optimis bahawa ia akan terus menjana prestasi yang memuaskan untuk sepanjang tahun ini. - DagangNews.com