Leform meterai perjanjian taja jamin dengan MIDF Investment, jangka penyenaraian di Pasaran ACE pada November 2022 | DagangNews Skip to main content

Leform meterai perjanjian taja jamin dengan MIDF Investment, jangka penyenaraian di Pasaran ACE pada November 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - Leform Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan MIDF Amanah Investment Bank Bhd bagi cadangan tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Penyedia perkhidmatan dagangan produk keluli itu dijangka disenaraikan pada November 2022 yang menyaksikan IPO sebanyak 311 juta saham baharu, mewakili 21% daripada modal saham yang diperbesarkan.

 

Ia juga melibatkan tawaran penjualan 74.1 juta saham sedia ada, mewakili 5% daripada bilangan saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan/atau terpilih yang dikenal pasti.

 

Daripada 311 juta saham baharu itu, 74.1 juta saham akan disediakan kepada orang awam melalui undian, diikuti 29.6 juta saham kepada pengarah dan pekerja yang layak, dan 22.2 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, manakala bahagian selebihnya sebanyak 185.1 juta saham dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

 

Selain daripada pasaran utama di Malaysia, kumpulan itu juga mengeksport produknya ke pasaran antarabangsa seperti New Zealand, Singapura dan Kemboja.

 

Pengarah Urusan Leform, Law Kok Thye berkata, pelaksanaan IPO itu akan mempercepatkan rancangan pengembangannya dan membolehkan syarikat itu memanfaatkan pasaran modal ekuiti untuk memcau peluang pertumbuhan masa depan.

 

"Permintaan terhadap produk keluli jug akan meningkat selepas mengambil kira prospek pelbagai sektor termasuk industri pembinaan, automotif dan segmen pembuatan perabot tempatan.

 

"Atas dasar itu kami mengambil inisiatif untuk membina kemudahan baharu untuk memenuhi peningkatan permintaan untuk paip keluli dan produk keluli rata.

 

"Peningkatan kapasiti ruang penyimpanan kami, sebagai contoh, akan membolehkan kami mengendalikan mesin kami dengan lebih cekap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Investment, Datuk Dominic Silva berkata, status penyenaraian yang dicari pasti akan meningkatkan reputasi kumpulan itu dalam membina model perniagaan yang terbukti berdaya tahan melalui pelbagai persekitaran ekonomi.

 

"Kami harap dapat bekerjasama dengan Leform untuk mengembangkan syarikat itu sebagai pemain dalam industri keluli,” katanya. - DagangNews.com