"Lega, 'one off' RM500 dah masuk" | DagangNews Skip to main content

"Lega, 'one off' RM500 dah masuk"

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Lepas segala keluh-kesah menantikan bantuan sekali bayar atau ‘one-off’ bernilai RM500 khusus buat golongan pemandu teksi dan bas.

 

Ini susulan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan bayaran berkenaan bermula 22 Februari dan dilaksanakan secara berperingkat. 

 

Berkongsi kepada DagangNews.com, pemandu teksi, Md. Bahari Ali yang telah menerima bayaran tersebut semalam tidak menafikan bantuan berkenaan sememangnya dinantikan dan melegakan buat mereka. 

 

“Selagi COVID-19 ini belum berakhir, adalah diharapkan kerajaan dapat terus membantu kami warga teksi semua. 

 

Md. Bahari Ali
Md. Bahari Ali

 

“Kalau boleh dengan cara bulanan pula kerana pendapatan kami terus merosot dan menjunam.

 

“Selain itu, kami juga adalah duta kecil negara yang seharusnya diberikan perhatian, penghargaan serta anugerah seperti mana yang kerajaan berikan kepada golongan petani, nelayan serta penternak,” katanya. 

 

Seramai 20,000 pemandu teksi dan kereta sewa dijangka menerima bantuan terbabit di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang dikreditkan ke dalam akaun mereka bermula Isnin lalu.

 

Sementara baki seramai 15,000 lagi akan menerima bantuan berkenaan secara berperingkat selewat-lewatnya pada 15 Mac depan.

 

Tengku Zafrul berkata, baki 75,000 penerima termasuk pemandu e-hailing, bas sekolah dan bas persiaran akan mula menerima bantuan tersebut secara berperingkat mulai 26 Februari ini.

 

Di sebalik keriangan pemandu teksi lain yang sudah menerima bantuan itu, Mohd. Faiz Hashim, 40, masih lagi menunggu bayaran berkenaan dikreditkan ke dalam akaunnya, setakat disemak semalam. 

 

Baca : Pemandu bas ekspres ‘gigit jari’ one-off RM500 

 

Mohd. Faiz yang merupakan pemandu teksi eksekutif (biru) bagaimanapun memahami kelewatan bayaran bantuan itu ekoran kerajaan mengagihkannya secara berperingkat. 

 

Berkata kepada DagangNews.com, wang RM500 yang diterimanya mahu digunakan sebaik mungkin antaranya bagi tujuan membaiki teksi yang disewanya, punca rezeki buat Mohd. Faiz sekeluarga. 

 

“Rakan-rakan pemandu teksi yang saya kenal juga masih belum menerima bayaran tersebut. Saya sudah semak status penerimaan di laman web Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan nama saya memang ada. 

 

Baca : Ibarat ‘asnaf segera’, pemandu teksi mohon Permai dilanjutkan

 

“Saya tunggu bayaran sahaja dan difahamkan ia dilaksanakan secara berperingkat. Semalam, saya rancang untuk membaiki teksi menggunakan duit berkenaan, tetapi bayaran belum masuk lagi,” luahnya. - DagangNews.com