Lembaga Pelabuhan Klang meterai perjanjian tambahan ketiga bagi penswastaan Westports sehingga tahun 2082 | DagangNews Skip to main content

Lembaga Pelabuhan Klang meterai perjanjian tambahan ketiga bagi penswastaan Westports sehingga tahun 2082

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) dan Westports Malaysia Sdn. Bhd. hari ini memeterai perjanjian tambahan ketiga bagi penswastaan Westports.

 

Terdahulu, Perjanjian Penswastaan Westports (asal) antara Kerajaan Malaysia, PKA, dan Westports (dahulunya dikenali sebagai Kelang Multi Terminal Sdn. Bhd.) telah ditandatangani untuk tempoh 30 tahun berkuat kuasa dari 1 September 1994 hingga 31 Ogos 2024.

 

Konsesi baharu akan melanjutkan tempoh 58 tahun dari 2024 hingga 2082 itu termasuk kemudahan pelabuhan sedia ada di Westports dan kemudahan baharu yang akan dibangunkan dalam tempoh konsesi membabitkan pelaburan RM39.6 bilion.

 

"Pembesaran terminal Westports (CT10 hingga CT17) dijangka meningkatkan kapasitinya daripada 14 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kepada 27 juta TEU berdasarkan unjuran sehingga 2082.

 

"Pembangunan terminal kontena CT10 hingga CT17 dijalankan berdasarkan prinsip kemampanan, selaras dengan konsep pelabuhan hijau dan pintar, termasuk penggunaan automasi dan pendigitalan yang bukan sahaja akan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau tetapi juga pelabuhan kalis masa hadapan.

 

"Pembangunan baharu itu akan menyediakan kemudahan serta perkhidmatan pelabuhan yang diperlukan bagi memenuhi permintaan masa depan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

 

Sebelum ini, Kabinet bersetuju dengan cadangan rancangan pembesaran Westports Holdings Bhd untuk pelabuhannya. 

 

Westports Malaysia telah menerima surat daripada PKA yang menyatakan bahawa cadangan pembesaran CT10 hingga CT17 telah dibentangkan kepada Kabinet pada 25 Julai lalu.

 

Kerajaan Malaysia juga telah memberikan sokongan penuh kepada inisiatif ini di Pelabuhan Klang, di mana pembangunan infrastruktur maritim menjadi keutamaan dalam meningkatkan ekonomi negara.

 

Kerjasama antara sektor awam dan swasta ini akan membina masa depan yang lebih cerah untuk industri pelabuhan dan perkapalan Malaysia. - DagangNews.com