Lembaga Pematuhan Audit SC denda Grant Thornton, Heizrin RM187,500 didapati gagal patuhi keperluan penggiliran rakan kongsi | DagangNews Skip to main content

Lembaga Pematuhan Audit SC denda Grant Thornton, Heizrin RM187,500 didapati gagal patuhi keperluan penggiliran rakan kongsi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendenda sebanyak RM150,000 dan RM37,500 ke atas Grant Thornton Malaysia PLT (GTM) dan rakan kongsi auditnya, Mohamad Heizrin Sukiman kerana gagal mematuhi keperluan penggiliran rakan kongsi. 

 

Suruhanjaya itu berkata, Heizrin telah melanggar keperluan utama Undang-undang Kecil Institut Akauntan Malaysia (Mengenai Etika, Kelakuan dan Amalan Profesional) (Undang-undang Kecil MIA) ketika tempoh peralihan Undang-undang Kecil MIA yang telah disemak. 

 

Katanya, beliau merupakan rakan kongsi dan penyemak kualiti tugasan dalam audit entiti berkepentingan awam (PIE) dari tahun 2013 hingga 2017. 

 

"Beliau dikehendaki melalui tempoh bertenang sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut. Bagaimanapun, beliau gagal berbuat demikian dan telah terlibat dalam audit PIE tersebut selama lebih tujuh tahun.

 

"Undang-undang Kecil MIA menetapkan bahawa rakan kongsi tugasan audit tidak boleh terlibat dalam tugasan audit untuk tempoh lebih daripada tujuh tahun berturut-turut bagi memastikan kebebasan audit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

AOB memandang serius pelanggaran itu kerana kebebasan juruaudit dan pematuhan piawaian etika adalah keperluan penting untuk profesion audit. 

 

Sementara itu, GTM gagal memenuhi objektif kualiti Piawaian Antarabangsa tentang Pengurusan Kualiti (ISQM) 1 seperti yang diterima pakai oleh MIA, khususnya mengenai ketidakpatuhan terhadap keperluan etika yang relevan, termasuk yang berkaitan dengan kebebasan (iaitu Undang-undang Kecil MIA). 

 

GTM dan Heizrin telah membuat rayuan kepada SC terhadap tindakan penguatkuasaan AOB. 

 

SC telah mendengar rayuan tersebut dan selepas melalui proses yang sewajarnya, telah mengesahkan keputusan AOB. - DagangNews.com