Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 April - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad, Datuk Haris Fadzilah Hassan menjangkakan ahli Lembaga Pengarah ditukar sekiranya firma perladangan terbesar itu tidak lagi disenarai awam.
Ini susulan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhasrat untuk menerajui FGV secara persendirian setelah memenuhi syarat tertentu.
“Bagi pihak pengurusan, saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah 2020 dalam memimpin dan menyokong transformasi agenda kumpulan sejak 2018,” katanya dalam laporan tahunan kewangan 2020, menerusi makluman di Bursa Malaysia.
Menurut makluman FGV di Bursa Malaysia pada awal bulan ini, Haris Fadzilah dijangka melepaskan jawatannya pada 15 Mei depan dan satu pengumuman akan dibuat apabila Lembaga Pengarah telah mengenal pasti calon bagi menggantikan beliau.
Sebelum ini, Lembaga Pengarah FGV menerima satu notis daripada Lembaga Pengarah Felda berhubung perjanjian pengambilalihan 13.88% kepentingan kumpulan.
Ini akan meningkatkan pemegangan saham oleh Felda kepada 35.12% sekali gus membolehkan agensi itu bersama-sama PAC mengeluarkan tawaran pengambilalihan berwajib.
Tawaran berwajib tersebut melibatkan nilai RM1.30 sesaham.
Sekitar Mac lalu, nilai saham FGV melonjak 17% kepada RM1.53 selepas Felda dilaporkan gagal meraih sokongan pemegang saham bagi menjadikan syarikat itu persendirian.
Setakat 15 Mac, Felda menerusi Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) mengumumkan bahawa agensi itu hanya memegang 81% ekuiti dalam FGV.
Sama ada FGV disenarai atau diterajui secara persendirian, Haris Fadzilah bagaimanapun menegaskan bahawa prinsip asas kumpulan tidak akan berubah.
Baca : Felda letak harapan pada Dzulkifli terajui FGV
“Prinsip asas FGV adalah untuk menjadi sebuah perniagaan komersial yang boleh diharapkan dan juga bertanggungjawab secara sosial dalam memartabatkan komuniti pekebun kecil minyak sawit.
“Ini menjadikan FGV berbeza dengan pemain industri minyak sawit lain di Malaysia,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi nilai saham FGV yang melonjak dengan signifikan, Haris Fadzilah percaya para pelabur kembali yakin terhadap kumpulan.
Katanya, beliau mendapati bahawa pasaran tidak lagi mempersoalkan pentadbiran korporat atau perkara-perkara berkaitan etika mahupun integriti FGV.
“Saya fikir, aspek-aspek ini telah menunjukkan penambahbaikan besar dalam FGV.
“Terdapat persepsi awam yang positif ke atas FGV sebagai syarikat tersenarai, dan ini digambarkan menerusi harga saham kami.
“Apabila saya mula menyertai FGV pada Januari 2019, harga saham FGV berada pada kadar RM0.92 sesaham. Pada penghujung 2020, ia berlegar sekitar RM1.27 hingga RM1.30.
“Apabila pengumuman pengambilalihan oleh Felda dibuat pada Disember 2020, saham FG V terhad pada kadar RM1.30,” ujarnya lanjut.
Tahun kewangan 2020 (FY20) menyaksikan FGV berjaya untuk kembali mencatatkan keuntungan RM346 juta selepas dua tahun berturut-turut merekodkan kerugian.
Setakat 4.08 petang, nilai saham FGV menokok 2 sen kepada RM1.37. - DagangNews.com