Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 31 Mei - LGM Properties Corporation (LGMPC) menuntut pihak tidak bertanggungjawab yang menyiarkan artikel berbaur fitnah di laman Facebook Sedar Malaysia dan negaramerdeka.com supaya memadamkan artikel berkenaan dalam tempoh 48 jam mulai hari ini.
Malah, perbadanan di bawah Lembaga Getah Malaysia (LGM) itu juga mahu pihak tersebut menyatakan permohonan maaf secara terbuka dan disiarkan di saluran media aliran perdana, media-media sosial dan laman web terlibat.
"Pihak LGMPC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya pihak yang bertanggungjawab gagal melaksanakan tuntutan-tuntutan LGMPC seperti dinyatakan," tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Pada 29 Mei lalu, sebuah artikel mengaitkan LGMPC dan Ketua Pegawai Eksekutif LGMPC telah tular di laman media sosial facebook Sedar Malaysia serta dilaman web negaramerdeka.com.
Artikel yang diterbitkan itu berbaur tuduhan, dakwaan, fitnah, tohmahan dan tidak berdasarkan pada fakta yang tepat berkaitan hal-hal sulit LGMPC.
Pernyataan fitnah tersebut juga telah tersebar secara meluas melalui perkongsian orang ramai di media sosial, laman web dan jaringan komunikasi.
Susulan itu, LGMPC menafikan sekeras-kerasnya tindakan penyebaran artikel yang mengandungi pernyataan fitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.
"Orang ramai juga digesa untuk tidak mempercayai fakta-fakta palsu yang disampaikan demi kepentingan peribadi atau alat mainan politik pihak-pihak tertentu," katanya.
Jelas LGMPC, dakwaan di dalam artikel tersebut secara terang-terangan berniat jahat dan bertujuan menjatuhkan reputasi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, LGMPC dan Ketua Pegawai Eksekutif LGMPC.
Secara dasarnya, LGMPC adalah Perbadanan yang tertakluk di bawah Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996, yang mana segala aktiviti, pengurusan dan/atau transaksi melibatkan LGMPC adalah berpandukan kepada pematuhan Undang-Undang Malaysia dan secara spesifik berada di bawah pemantauan serta penyeliaan Lembaga Getah Malaysia.
Sehubungan itu katanya, tidak sewajarnya timbul isu berkaitan dakwaan salah urus tadbir, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa seperti yang dibangkitkan di dalam pernyataan fitnah tersebut.
LGMPC juga menjelaskan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif LGMPC, Ir. Ariffahmi Ab Rahman adalah mengikut Peraturan-peraturan Lembaga Getah Malaysia (LGM Properties Corporation) 2001 dan beliau mula bertugas mulai pada 25 Januari 2021.
"Kenyataan ini secara tidak langsung menyangkal pernyataan fitnah di dalam artikel tersebut yang telah memetik peristiwa dalam rangka masa sebelum beliau memulakan perkhidmatan di LGMPC.
"Selama 4 bulan berkhidmat, beliau telah berjaya merencana, menyusun semula dan melaksanakan strategi perniagaan baharu demi meningkatkan pendapatan LGMPC," jelasnya lagi. - DagangNews.com