Li Ka-shing raih laba besar daripada Zoom | DagangNews Skip to main content

Li Ka-shing raih laba besar daripada Zoom

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Empayar perniagaan hartawan Li Ka-shing kini dalam gelora, namun beliau masih mampu mengekalkan kedudukannya sebagai orang terkaya di Hong Kong. Ini berikutan pelaburan awalnya di Zoom Video Communications Inc dan Solina Chau, orang kanannya yang sama-sama menubuhkan sayap pelaburan teroka beliau sekian lama.

Taikun tersebut, yang dikenali kerana membina bangunan pencakar lanjut paling ikonik yang menghiasi langit Hong Kong, pertama kali melabur di dalam aplikasi persidangan video Zoom pada 2013.

Taikun berusia 92 tahun ini kini memegang 8.5% ekuiti di dalam syarikat berpangkalan di San Jose, California, bernilai AS$11 bilion (RM45.59 bilion), atau satu per tiga kekayaan yang dimilikinya, lapor Bloomberg.
 

zzz


Zoom mencapai populariti tinggi tahun ini berikutan COVID-19 memaksa penutupan pejabat dan sekolah, mendorong orang ramai mengadakan mesyuarat dan kelas secara maya. Isnin lalu, syarikat disenarai di bursa Amerika Syarikat itu melaporkan lonjakan 355% dari segi jualan bagi tempoh tiga bulan pertama berakhir 31 Julai, keputusan kedua terbaik dalam kalangan Indeks 100 Nasdaq bagi suku tahunan terkini. Ia meningkatkan saham sebanyak 41% pada Selasa, dengan saham Li meraih AS$3.2 bilion (RM13.26 bilion) dalam masa hanya sehari. Beliau kini bernilai AS$32.6 bilion (RM135.11 bilion), menurut Indeks Bilionair Bloomberg.

Ketika Zoom mencatat peningkat tahun ini, konglomerat milik Li, CK Hutchison Holdings Ltd dan CK Asset Holdings Ltd, berdepan kesukaran di dalam krisis COVID-19 dan protes anti-kerajaan yang melanda Hong Kong. Saham kedua-dua syarikat telah menyusut lebih daripada suku daripada nilai sebenar pada tahun ini, dengan taikun yang selama berdekad-dekad meraih untung dengan melakukan perluasan ketika berlaku krisis, kini terpaksa melakukan pengurangan dengan memotong kos-kos operasi.

Selepas melaporkan kejatuhan keuntungan separuh pertama 2020 sebanyak 29%, CK Hutchison mengeluarkan amaran bulan lalu bahawa pendapatan bersih bagi perniagaan pelabuhan dan runcitnya mungkin jatuh bagi separuh kedua tahun ini. Sementara itu, perolehan CK Asset pula merudum 58% dalam tempoh enam bulan sehingga Jun lalu.

Pelaburan di dalam Zoom itu, atas nasihat Chau, yang pada 2002, merupakan pengasas bersama Horizons Ventures Ltd, yang menguruskan pelaburan teroka Li. Syarikat itu adalah antara penyokong awal Facebook Inc, Spotify Technology SA dan Siri, dan telah melabur pengeluar daging berasaskan tumbuhan, Impossible Foods Inc. Ia menyertai pembiayaan Zoom pada 2013 dan 2015, dan semasa syarikat itu disenarai awam tahun lalu, nilai saham Li ialah AS$850 juta (RM3.5 bilion). Horizons Ventures enggan mengulas ketika dihubungi.
 

aaa
                                                          SOLINA CHAU


Hasil pelaburan Li menerusi Horizons Ventures diperuntukkan ke dalam Yayasan Li Ka Shing, yang mana Li telah menggelarnya sebagai anak lelaki ketiganya. Beliau meletakkan satu per tiga kekayaannya ke dalam yayasan itu pada 2006 atau lebih daripada AS$9 bilion (RM37.30 bilion), menurut pernyataan daripada kumpulan perniagaannya. Chau, 59, merupakan pengarah eksekutif yayasan tersebut. - DagangNews.com