LIMA masih hebat, Pertunjukan Udara Singapura bukan saingan selain kurang penyertaan berbanding di Langkawi | DagangNews Skip to main content

LIMA masih hebat, Pertunjukan Udara Singapura bukan saingan selain kurang penyertaan berbanding di Langkawi

Pesawat F-15SG yang dipamerkan pada Pertunjukan Udara Singapura.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 27 Feb - Jika tiada penyertaan China, Pertunjukan Udara Singapura edisi 2024 yang melabuhkan tirainya kelmarin hambar kerana tidak disertai pemain-pemain utama industri yang boleh menjadi tarikan.

 

Kehadiran pempamer China menukar ruang pameran di Singapura seolah-olah seperti berada di Zhuhai pula.

 

Tarikan China ialah helikopter penyerang versi eksport Z-10 yang pertama kali dipamerkan di luar negara.

 

China berharap untuk mengeksport helikopter itu yang dikatakan telah pun mempunyai pembeli.

 

Pesawat
Helikopter penyerang Z-10.

 

Pesawat
Comac C919.

 

Begitu juga pesawat komersial Comac C919 yang membuat perjalanan pertamanya di luar wilayah China di Singapura.

 

Walaupun pemain industri aeroangkasa dari Amerika Syarikat (AS) hadir di Singapura, namun tanpa penyertaan Rusia tidak banyak tarikan pada produk-produk pertahanan buatan Eropah Timur.

 

Negara itu tidak hadir disebabkan konflik di Ukraine tetapi Rusia menyertai Dubai Airshow di Dubai pada November lalu.

 

Industri pertahanan Rusia masih mempunyai prestij tersendiri khususnya jika hadir pada pameran bertaraf global.

 

Dengan sekatan antarabangsa yang dikenakan, pesaing melihat ada peluang untuk merebut pasaran kelengkapan pertahanan buatan Rusia di Asia.

 

Pesawat
Pesawat Sukhoi SU-30MKM TUDM menjadi satu-satunya aset buatan Rusia yang dipamerkan pada Pertunjukan Udara Singapura.

 

Pesawat

 

Beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Laos, juga menggunakan peralatan buatan Rusia atau era Soviet.

 

Israel yang menarik diri dari Dubai sebaliknya datang ke Singapura bersama produk-produk pertahanan terkini.

 

Boleh difahami kehadiran industri pertahanan Israel ke Singapura juga disebabkan hubungan dan kerjasama industri yang baik antara kedua negara.

 

Singapura merupakan pengguna beberapa sistem pertahanan buatan Israel, termasuklah dron dan peluru berpandu pertahanan udara.

 

Cuma, penyertaan pempamer Israel di Singapura dalam situasi negara itu masih melakukan penindasan ke atas rakyat Palestin menimbulkan persepsi.

 

Pesawat

 

Begitu juga Turkiye yang mana sekiranya delegasi negara itu hadir di Singapura mungkin memeriahkan lagi acara tersebut.

 

Turkiye antara peneraju baharu dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa.

 

Justeru, jika membandingkan Pertunjukan Udara Singapura dengan Pameran Udara dan Maritim Langkawi (LIMA), acara dwitahunan di kota singa ini gagal untuk bersaing.

 

LIMA masih mempunyai prestij tersendiri, maka tidak hairanlah setiap kali penganjuran LIMA ia mampu menarik penyertaan lebih 500 pempamer dari 30 negara.

 

Pesawat
LIMA masih mendominasi sebagai antara pameran industri dan pertahanan yang terbaik di dunia.

 

Pesawat
Penyertaan pemain industri semasa LIMA penting sebagai cabang pemasaran masing-masing.

 

Selain itu, tidak banyak kontrak-kontrak besar dimeterai pada Pertunjukan Udara Singapura melainkan pembelian komersial antara syarikat penerbangan selain pengumuman kerjasama industri.

 

Tiada pembelian pertahanan diumumkan atau dimuktamadkan oleh mana-mana pihak semasa pameran itu.

 

Berbeza dengan LIMA yang menggabungkan pameran udara dan maritim, ia menjadi lokasi penganjuran yang sangat sesuai untuk kedua-dua cabang industri hadir.

 

Selain itu, tarikan Langkawi sebagai pulau pelancongan melengkapkan kehadiran pempamer luar negara khususnya dari Eropah yang ingin lari dari kesejukan.

 

LIMA 2023 mencatatkan rekod sebagai penganjuran terbesar apabila pelbagai perjanjian pertahanan dan komersial bernilai RM17.4 bilion berjaya ditandatangani.

 

Daripada jumlah itu, RM10.128 bilion adalah perjanjian pertahanan.

 

Jumlah kehadiran pengunjung awam pula lebih 90,000 manakala di Singapura seramai 50,000 orang.

 

Bagi LIMA 2025 nanti, pihak penganjur perlu membuat persediaan yang lebih rapi agar prestij pameran ini kekal berada pada tangga tertinggi.- DagangNews.com