Lima pelajar tajaan alumni UPM berjaya tamat pengajian pada majlis konvokesyen ke-47 di kampus Bintulu | DagangNews Skip to main content

Lima pelajar tajaan alumni UPM berjaya tamat pengajian pada majlis konvokesyen ke-47 di kampus Bintulu

Lima pelajar penerima tajaan biasiswa daripada alumni UPM menamatkan pengajian masing-masing pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47, Sidang 1, di Kampus Bintulu, Sarawak, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov - Seramai lima pelajar yang menerima tajaan biasiswa daripada alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menamatkan pengajian masing-masing pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47, Sidang 1, di Kampus Bintulu, Sarawak. 

 

Mereka terdiri daripada Nurul A’fifah Nabila Ahmad, Diploma Pengurusan Perladangan Makanan, pelajar tajaan Biasiswa Soh Kim Mee; Mirna Makiri, Diploma Pertanian, pelajar tajaan Biasiswa Chapter Cyperus 92 (2.0) dan Nurul Sajeedah Abd Rahman, Diploma Pertanian, pelajar tajaan Biasiswa Chapter Cyperus 92’ (2.0).

 

Selain itu, pelajar terbabit, Muhammad Mu’izuddin Sakka, Diploma Pertanian,  pelajar tajaan Biasiswa Chapter Cyperus 92’ (2.0) dan Muhammad Khairin Danish Mohd Khairani, Diploma Pengurusan Perladangan Makanan, pelajar tajaan Biasiswa TMJ. 

 

Kesemua pelajar itu antara 484 graduan yang berjaya menerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Sarjana (Master), Bacelor dan Diploma yang telah disampaikan oleh Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Dewan Sri Kenyalang, baru-baru ini.

 

Setiap kos berkaitan pengajian untuk lima pelajar berkenaan selama tiga tahun dibiayai sepenuhnya daripada pihak penaja yang merupakan alumni UPM sama ada yang sedang berkhidmat di UPM dan juga yang berjaya dalam industri masing-masing di luar UPM. 

 

Mereka menikmati keistimewaan itu sejak daripada tahun satu pengajian yang mana, mereka ini dipilih dengan kriteria tertentu.

 

Syarat utama adalah mereka perlu cemerlang dalam akademik, aktif dalam kokurikulum dan diberikan keutamaan kepada para pelajar yang memerlukan bantuan kewangan seperti daripada golongan keluarga B40, asnaf dan juga pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).

 

 

upm

 

 

Pendaftar UPM merangkap Penaja Biasiswa Alumni QKB MPP 04, Muhazam Mansor (alumni UPM kelas 2006),  antara yang hadir di Kampus Bintulu untuk bersama-sama pelajar dalam sesi temu mesra penaja biasiswa bersama pelajar yang bergraduat. 

 

Beliau berkata, pihaknya bangga melihat para pelajar yang ditaja dari tahun satu, sudah berjaya menerima skrol masing-masing. 

 

 

upm

 

 

"Pelajar semua sudah bergelar alumni maka jadilah alumni yang memainkan peranan yang terbaik untuk kita bersama-sama mengharumkan nama UPM dan bersama-sama dengan universiti untuk menggalas amanah dan tanggungjawab demi memartabatkan institusi pendidikan negara," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

 

Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Fahmi Azar Mistar menegaskan ARCUPM selaku entiti penghubung antara alumni, alma mater dan pelajar, mengalu-alukan kehadiran alumni.

 

 

upm
Fahmi Azar Mistar

 

 

 

upm

 

 

"Dalam erti kata lain, bersama-sama kembali menyumbang kepada universiti bukan sahaja untuk kecemerlangan universiti tetapi juga dapat membantu pelajar yang memerlukan bantuan meneruskan pengajian," katanya. - DagangNews.com