Lima pemegang saham tarik balik saman terhadap Bahvest menjelang EGM pada 13 Jun ini | DagangNews Skip to main content

Lima pemegang saham tarik balik saman terhadap Bahvest menjelang EGM pada 13 Jun ini

KUALA LUMPUR 22 Mei - Bahvest Resources Berhad menyatakan bahawa lima pemegang saham yang sebelum ini memfailkan saman terhadap syarikat itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk menggantikan tiga pengarah kumpulan itu telah menarik balik saman tersebut.

 

Mereka juga memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak meneruskan cadangan EGM mereka pada 25 Mei ini.

 

Kumpulan itu berkata, lima pemegang saham  itu telah menarik balik saman pemula, yang bertujuan untuk memaksa syarikat menyerahkan rekod depositorinya bagi tujuan pengeluaran notis EGM yang dicadangkan.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu pada 17 Mei 2023 mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan EGM pada 13 Jun ini selepas menerima notis hasrat khas daripada lima pemegang saham iaitu Marlex Trading Ltd, Innosabah Capital Holdings Sdn Bhd, Lim Nyuk Sang @ Freddy Lim, Yong Fen Yoo dan Chong Tzu Khen.

 

Mereka mengemukakan resolusi untuk memecat dan menggantikan tiga pengarah Bahvest dan kumpulan itu melihat saman itu sebagai 'bertindih'.

 

BACA JUGA: Bahvest setuju adakan EGM pada 13 Jun meskipun berdepan desakan pecat tiga ahli lembaga pengarah

 


Pada EGM akan datang kesemua lima pemegang saham itu berhasrat untuk menyingkirkan pengerusi bukan eksekutif bukan bebas Bahvest Datuk Sri Dr. Md Kamal Bilal, pengarah urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Lo Fui Ming, dan eksekutif pengarah Lo Tek Yong.

 

Kedudukan mereka akan digantikan dengan Chong Tzu Khen, Law Ngia Meng, dan Chong Mee Fah @ Frederick Chong.

 

Pada 17 Mei, Fui Ming memegang 3.3% kepentingan dalam Bahvest. Beliau tidak lagi menjadi pemegang saham terbesar syarikat itu pada 11 Mei. 

 

Sebelum itu, beliau memegang 13.18% kepentingan kumpulan.

 

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan ke atas lombong emas dan premis perniagaan anak syarikat milik penuh Bahvest Wullersdorf Resources Sdn Bhd di Tawau, Sabah.

 

Dalam serbuan itu, pengurusan utama Bahvest termasuk Fui Ming dan Teck Yong turut ditahan dan direman beberapa hari oleh agensi antirasuah itu. 

 

Semasa perbicaraan mahkamah, SPRM telah mendedahkan bahawa tindakannya dicetuskan oleh aduan yang dibuat kepada agensi itu dan ia sedang menyiasat kes penipuan berkaitan angka pengeluaran emas yang tidak tepat. - DagangNews.com