Liputan 5G disasar capai 40% menjelang akhir 2022 - PM | DagangNews Skip to main content

Liputan 5G disasar capai 40% menjelang akhir 2022 - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat kedua MED4IRN, hari ini.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - Digital Nasional Berhad (DNB) menyasarkan capaian liputan 5G mencapai 40% menjelang akhir 2022.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, DNB juga menyasarkan liputan sebanyak 80% di kawasan berpenduduk menjelang 2024.

 

"Capaian rangkaian 5G kini telah mencecah lebih daripada 30% liputan di kawasan berpenduduk.

 

“Kerajaan berharap program pendigitalan yang telah dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi akan terus dipertingkatkan dalam usaha mengekalkan momentum pendigitalan sedia ada seterusnya memacu agenda pendigitalan negara,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), hari ini.

 

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan, mesyuarat kedua MED4IRN itu turut memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dengan Microsoft Malaysia dalam bidang keselamatan siber dan kes penipuan dalam talian.

 

Beliau berkata, kerjasama itu adalah bagi menyokong visi pembangunan digital negara.

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

Perdana Menteri berkata, pelbagai program akan dilaksanakan secara menyeluruh kepada seluruh Keluarga Malaysia termasuk forum kesedaran, bengkel kemahiran dan latihan teknikal bagi sektor awam serta swasta.

 

“MED4IRN juga menubuhkan Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi menyelaras inisiatif dan program berkaitan ekonomi perkongsian di peringkat nasional melibatkan sektor awam, swasta, komuniti dan akademik,” katanya. - DagangNews.com