‘Lockdown’ tempias negatif sementara sahaja ke atas eksport Malaysia | DagangNews Skip to main content

‘Lockdown’ tempias negatif sementara sahaja ke atas eksport Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Perniagaan yang berorientasikan eksport tidak dinafikan bakal menerima tekanan daripada pelaksanaan ‘total lockdown’ bermula esok sehingga 14 Jun 2021. 

 

Namun, AmBank Research percaya sektor itu akan melonjak semula lebih pantas apabila tamatnya ‘lockdown’ fasa pertama kelak. 

 

“Industri yang berorientasikan eksport akan menerima tekanan ekoran sekatan operasi dan/atau pengangkutan selain gangguan dalam rantaian bekalan domestik. 

 

“Namun, kami menjangkakan sektor berkenaan akan melonjak semula lebih pantas selepas fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkenaan susulan permintaan global terhadap produk eksport utama Malaysia dan rakan dagangan yang masih lagi kukuh,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajiannya hari ini. 

 

AmBank Research mengunjurkan situasi berkenaan setelah mengambil kira kadar vaksinasi negara yang dijangka bertambah baik dalam tempoh beberapa bulan akan datang, tidak seperti tahun lalu.

 

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) mendedahkan eksport negara pada bulan lalu mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak Februari 1998. 

 

Dalam masa sama, ini juga merupakan kenaikan bagi perbandingan tahun ke tahun yang ke lapan bulan berturut-turut sejak September 2020.

 

Baca : Eksport kukuh kurangkan risiko penurunan permintaan domestik Malaysia

 

Pada bulan yang sama, perdagangan negara berkembang 43.2% kepada RM190.76 bilion berbanding April 2020.

 

AmBank kekal optimistik, namun berhati-hati terhadap persekitaran operasi perniagaan yang dijangka pulih dengan cepat. 

 

“...Ini dengan jangkaan terdapat langkah rangsangan bersasar yang akan disuntik dan penamatan langkah pembendungan beransur-ansur bermula separuh kedua tahun 2021 (2H21). 

 

“Buat masa ini, kami mengekalkan unjuran eksport dan import yang akan berkembang, masing-masing sebanyak 15% dan 13%,” jelas AmBank lagi.

 

Senada itu, CGS-CIMB Research meningkatkan unjuran eksport kepada 14% dan import pula 15.6% berbanding tahun lalu. 

 

Ini berdasarkan data positif eksport bagi bulan lalu yang mengejutkan dengan pemulihan ekonomi global yang diterajui China dan Amerika Syarikat (AS) akan menjadi pemacu utama kepada prospek berkenaan. 

 

Tambah CGS-CIMB, dagangan pada Mei 2021 dijangka menyaksikan pertumbuhan sebelum kesan asas rendah hilang pada 2H21. - DagangNews.com