Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 21 Jan - LogPoint mengumumkan perkongsian baharu dengan Securelytics Sdn Bhd bagi menawarkan perlindungan daripada serangan siber kepada perusahaan di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif LogPoint, Jesper Zerlang, berkata, menerusi kerjasama itu, Securelytics akan menawarkan platform operasi keselamatan yang lengkap berdasarkan teknologi SIEM, SOAR dan UEBA.
“Kami teruja untuk mengumumkan perkongsian baharu dengan Securelytics di Malaysia.
"Securelytics mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang keselamatan siber dan pemahaman yang mendalam tentang arah aliran pasaran, membolehkan mereka mengejar banyak peluang dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
LogPoint merupakan penyedia platform operasi keselamatan siber yang inovatif dan memperkasakan organisasi di seluruh dunia untuk berkembang maju dalam dunia ancaman siber yang semakin berkembang.
Dengan menggabungkan teknologi canggih dan pemahaman yang mendalam tentang cabaran pelanggan, LogPoint memperkukuh keupayaan pasukan keselamatan sambil membantu mereka memerangi ancaman semasa dan akan datang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Securelytics, Muzamir Mohamad berkata, pihaknya percaya penawaran yang diberikan LogPoint menerusi kerjasama ini akan memberi nilai tambah kepada portfolio syarikat.
"Dengan model perniagaan yang inovatif, LogPoint membolehkan kami menyediakan teknologi SIEM yang tercanggih dan kalis masa hadapan yang bermanfaat untuk pelanggan kami, memerangi peningkatan ancaman keselamatan siber setiap hari," katanya.
Securelytics diasaskan pada tahun 2014 dan merupakan peneraju dalam keselamatan siber, menyampaikan perkhidmatan yang dibuat khusus untuk menyokong perniagaan di Malaysia bagi melindungi persekitaran IT mereka.
Syarikat itu menyediakan perkhidmatan keselamatan siber dan dengan rekod prestasi yang terbukti untuk pelanggan tempatan dan antarabangsa. -DagangNews.com