Loji gas karbon dioksida cecair kedua Kelington di Kerteh mula beroperasi | DagangNews Skip to main content

Loji gas karbon dioksida cecair kedua Kelington di Kerteh mula beroperasi

Kelington memiliki 90.71% saham dalam Ace Gases./Gambar hiasan media sosial
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Mac - Kelington Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Ace Gases Sdn Bhd telah memulakan pengeluaran karbon dioksida cecair (LCO2) dengan kapasiti pengeluaran tahunan sehingga 70,000 tan metrik di Loji LCO2 kedua di Kerteh, Terengganu. 

 

Perkara itu dimaklumkan Kelington kepada kepada Bursa Malaysia hari ini dan pihaknya memiliki 90.71% saham dalam Ace Gases.

 

Menurut Kelington, loji kedua di Kerteh itu meningkatkan kapasiti pengeluaran LCO2  Kumpulan kepada 120,000 tan setahun.

 

"Di loji LCO2 Kumpulan, gas buangan CO2 yang diperoleh daripada Loji Pemprosesan Gas Petronas ditulenkan dan ditukar kepada LCO2 gred makanan, memenuhi keperluan untuk kegunaan merentasi pelbagai penggunaan.

 

lc02
Gas karbon dioksida cecair (LCO2) turut menjadi bahan dalam industri makanan bagi tujuan penciptaan ais kering. - Gambar hiasan FB ACE Gases.

 

"Ini terutamanya dalam sektor Makanan dan Minuman (F&B) untuk pengeluaran minuman berkarbonat dan penciptaan ais kering untuk pembekuan makanan," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kenanga kekal saranan 'Neutral' sektor teknologi, Kelington antara pilihan

 

ace
LCO2 digunakan sebagai bahan dalam sektor Makanan dan Minuman (F&B) untuk pengeluaran minuman berkarbonat dan penciptaan ais kering untuk pembekuan makanan. Gambar hiasan FB Ace Gases

 

Dalam kenyataan media tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kelington, Raymond Gan berkata, loji LCO2 kedua meletakkan pertumbuhan hasil segmen gas perindustrian Kumpulan kini mempunyai kapasiti untuk memenuhi permintaan yang meningkat dengan berkesan.

 

"Prospek perniagaan pembuatan LCO2 kami menjanjikan, terutamanya kerana penutupan loji petrokimia di luar negara disebabkan kebimbangan alam sekitar telah menyebabkan kekurangan LCO2 global yang penting dalam banyak proses perindustrian.

 

“Lebih 70% daripada LCO2 kumpulan itu kini dieksport ke Singapura, Australia, New Zealand, Fiji, Indonesia dan Filipina. 

 

"Kapasiti yang dipertingkatkan membolehkan kami meluaskan lagi pasaran kami, ke kawasan sedia dan ke wilayah baharu," katanya.- DagangNews.com