Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 4 Sept. - Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi setakat pukul 6.30 pagi ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Elina Baseri berkata, perkara itu adalah disebabkan oleh pencemaran yang masih dikesan di muka sauk loji-loji berkenaan dan berada pada tahap 1 TON.
"Sekarang LRA berada pada tahap 1 TON. LRA hanya boleh beroperasi apabila tahap pencemaran berada pada tahap 0 TON.
"Bagaimanapun, bantuan akan terus diagihkan melalui lori-lori tangki air," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Elina, pengguna juga disarankan untuk mendapatkan bekalan air melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam hingga bekalan pulih sepenuhnya.
"Air Selangor akan terus mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor," ujarnya lagi.
Semalam, sebanyak 1,292 kawasan di sekitar Lembah Klang, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami masalah gangguan bekalan air tidak berjadual.
Gangguan yang berlaku sejak pukul 10 pagi semalam itu dilaporkan berpunca daripada pencemaran sumber air mentah. - DagangNews.com