Loji termal di Vietnam lonjak keuntungan, Jaks Resources dijangka tumpu sektor RE | DagangNews Skip to main content

Loji termal di Vietnam lonjak keuntungan, Jaks Resources dijangka tumpu sektor RE

Pembangunan loji jana kuasa termal Jaks Resources Bhd. di wilayah Hai Duong, Vietnam mula beroperasi akhir tahun lalu. - Gambar laman web Jaks Resources

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Projek loji jana kuasa termal di Vietnam dijangka menjadi penyumbang utama kepada pendapatan bersih Jaks Resources pada separuh kedua 2021. 

 

Ini berikutan prospek kumpulan yang dilihat mencabar di peringkat domestik terutama membabitkan segmen pembinaan dan pembangunan hartanah. 

 

Penganalisis Malacca Securities Research, Kenneth Leong menjangkakan tiada sebarang kontrak baharu dikeluarkan tengah-tengah pemulihan sektor pembinaan yang tidak sekata. 

 

"Tambahan pula, segmen pembangunan hartanah akan terus terjejas, disebabkan kadar penghunian yang kurang memberangsangkan. 

 

"Malah, kami berpendapat, sebarang usaha untuk meningkatkan kadar penghunian akan kekal berdepan dengan rintangan besar ketika ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagaimanapun, menurut Leong, nilai projek sedia ada kumpulan sebanyak RM282.1 juta masih cukup menampung pendapatan untuk beberapa tahun akan datang. 

 

"Hala tuju lebih jelas amat diharapkan pada pembentangan Belanjawan 2022. Namun, buat masa ini, nilai projek Jaks adalah berjumlah RM4 bilion," tambahnya. 

 

Untung bersih Jaks pada suku kedua 2021 melonjak 1230.5% tahun ke tahun kepada RM28.8 juta disumbangkan terutama menerusi operasi loji jana kuasa Vietnam apabila ia mula beroperasi pada akhir 2020. 

 

Bagaimanapun, pendapatan pada suku berkenaan susut 44.5% tahun ke tahun kepada RM41.6 juta. 

 

Bagi tempoh 6 bulan, untung bersih direkodkan sebanyak RM48.6 juta berbanding kerugian bersih RM4.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. Pendapatan pula susut 60.7% kepada RM59 juta.

 

Menurut Leong, walaupun Vietnam melanjutkan tempoh sekatan pergerakan sejak Julai 2021, tetapi kadar penggunaan bagi loji jana kuasa termal di wilayah Hai Duong ini masih kekal melebihi 70% disokong permintaan yang stabil.

 

"Kami melihat Jaks akan berkembang dalam sektor tenaga diperbaharui (RE) sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

 

"Dalam hal ini, kami percaya pengurusan kumpulan akan mempertimbangkan untuk meningkatkan tambahan 10% pegangan dalam loji tenaga apabila aliran tunai mula memberikan hasil kelak," katanya.

 

Sementara itu, Leong berkata, Jaks akan terlibat secara aktif meneroka projek infrastruktur RE di Vietnam bagi meningkatkan aliran pendapatan.

 

Sehubungan itu, Malacca Securities mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Jaks dengan harga sasaran lebih tinggi pada 75 sen berbanding 72 sen sebelum itu. 

 

"Bagaimanapun, risiko terhadap cadangan dan harga sasaran kami merangkumi kadar penggunaan yang lebih rendah daripada dijangkakan atau kenaikan kos overhead dalam projek pengeluar bebas tenaga (IPP) di Vietnam," tambahnya. - DagangNews.com