Lokasi strategik dan harga menarik, TA Securities positif terhadap pengambilalihan Kluang Mall oleh Sunway REIT | DagangNews Skip to main content

Lokasi strategik dan harga menarik, TA Securities positif terhadap pengambilalihan Kluang Mall oleh Sunway REIT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pengambilalihan Kluang Mall oleh Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) pada Harga RM158 juta dijangka meningkatkan pendapatan hartanah bersih (NPI) kepada hamper 7%, kata TA Securities.

 

Katanya, pengurusan Sunway REIT menjangkakan pengambilalihan itu menjana hasil NPI kira-kira 6.8%, yang lebih tinggi daripada hasil portfolio hartanahnya sebanyak 5.7% pada FY23.

 

Selain itu katanya, pertimbangan pembelian mewakili diskaun kira-kira 4.2% kepada nilai ini.

 

"Kami melihat pemerolehan itu secara positif kerana lokasinya yang strategik, harga yang menarik dan potensi peningkatan NPI. 

 

"Pengambilalihan itu dijangka meningkatkan unjuran pendapatan FY25 dan FY26 sebanyak kira-kira 2%, dengan mengandaikan hartanah itu mula menyumbang pada suku pertama 2025," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sunway REIT beli pusat beli-belah Kluang Mall pada harga RM158 juta

 

Katanya, ramalan pendapatan semasa kekal tidak berubah sehingga pemerolehan dimuktamadkan.

 

TA Securities melaraskan harga sasarannya kepada RM1.93/unit daripada RM1.88/unit, mengekalkan penarafan 'beli' dengan hasil sasaran tidak berubah sebanyak 6%.

 

Pemerolehan itu akan dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman bank, meningkatkan nisbah penggearan Sunway REIT daripada 40.1% kepada 41.1%.

 

Setelah siap, aset di bawah pengurusan Sunway REIT akan meningkat kepada RM9.8 bilion, sejajar dengan sasarannya antara RM14 bilion hingga RM15 bilion menjelang FY27.

 

"Pemerolehan Kluang Mall membolehkan Sunway REIT berkembang ke Johor tengah, wilayah yang akan mendapat manfaat daripada projek infrastruktur akan datang seperti projek rel Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB dan pelbagai pembaikan jalan di sepanjang laluan persekutuan Batu Pahat- Ayer Hitam - Kluang, " katanya.

 

Sunway REIT memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Tenaga Nusantara Sdn Bhd bagi memperoleh pusat beli-belah itu, dengan dijangka siap menjelang suku keempat 2024.

 

Terletak di pusat bandar Kluang, kompleks beli-belah empat tingkat itu memberi perkhidmatan kepada lebih 320,000 penduduk di daerah Kluang dan sehingga satu juta orang di Johor tengah, termasuk Batu Pahat, Ayer Hitam, Kulai dan Mersing.

 

Kluang Mall merangkumi kira-kira 808,000 kaki persegi keluasan lantai kasar dan 360,000 kaki persegi ruang sewa bersih, dengan 920 ruang tempat letak kereta. 

 

Pusat beli-belah itu 99% diduduki oleh lebih 130 penyewa, termasuk Pasar Besar & Gedung Serbaneka Pasifik, Pawagam GSC, Ampang Superbowl, Popular, H&M, Starbucks, Skechers, Coffee Beans, KFC, Body Shop, Face Shop dan Machine. Campuran penyewa ini memenuhi keperluan keluarga, pelajar dan profesional yang bekerja di Johor tengah.

 

Kepakaran penjenamaan dan pengurusan runcit Sunway Group dijangka meningkatkan lagi Kluang Mall melalui pengoptimuman penyewaan dan penambahbaikan aset. - DagangNews.com