Lonjakan harga MSM dijangka terus imbangi pendapatan United Malacca | DagangNews Skip to main content

Lonjakan harga MSM dijangka terus imbangi pendapatan United Malacca

United Malacca Bhd. (UMB)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Mac. - Paras harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi dilihat mampu mengimbangi masalah kekurangan pengeluaran tandan buah segar (TBS).

 

CGS-CIMB Research berkata, situasi berkenaan dijangka dapat membantu keseimbangan pendapatan syarikat United Malacca Bhd. (UMB) pada tahap mendatar pada suku keempat tahun kewangan 2021 (4QFY21).

 

"Kami juga meningkatkan ramalan untung bersih UMB bagi tahun kewangan 2021 hingga 2022 seiring dengan harga MSM yang disemak sebanyak RM2,900 dan RM2,700.

 

"Bagaimanapun, kami menurunkan ramalan untung bersih bagi tahun kewangan 2023 kerana menilai kepada hasil pengeluaran TBS yang lebih rendah," jelas CGS-CIMB Research.

 

Bagi tempoh suku ketiga tahun kewangan 2021, UMB mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 11 kali ganda kepada RM7.7 juta berbanding hanya RM0.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Ia dipacu oleh harga MCM yang lebih tinggi serta hasil TBS yang lebih baik dari ladang-ladang di Malaysia.

 

Prestasi tersebut sekali gus menjadikan untung bersih bagi tempoh sembila bulan pertama 2021 kepada RM17 juta.

 

Operasi UMB di Malaysia mencatatkan kenaikan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak empat kali ganda dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021 kepada RM57.7 juta.

 

Tambah CGS-CIMB Research, operasi UMB di Kalimantan, Indonesia pula mencatatkan penurunan 3% EBITDA tahun ke tahun dalam susulan pengeluaran TBS yang lemah.

 

Hasil TBS Kalimantan UMB mencatatkan penurunan 17% tahun ke tahun yang lebih tinggi pada 3QFY21,
yang mungkin disebabkan oleh berlakunya kesan kemarau yang dialami setahun yang lalu.

 

CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'pegang' saham UMB dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM5.22. - DagangNews.com