Lotte Chemical Titan catat rugi bersih RM231 juta pada 1QFY23 kesan penurunan purata harga jualan | DagangNews Skip to main content

Lotte Chemical Titan catat rugi bersih RM231 juta pada 1QFY23 kesan penurunan purata harga jualan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 April - Lotte Chemical Titan Holding Berhad merekodkan kerugian bersih sebanyak RM231.6 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding untung bersih RM102.9 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu berkata, hasil kumpulan menurun sebanyak 29% atau RM788.2 juta daripada RM2.76 bilion pada 1QFY22 kepada RM1.97 bilion pada 1QFY23 disebabkan penurunan purata harga jualan produk dan jumlah jualan.

 

Purata penggunaan loji dicatatkan pada 70% berbanding 85% pada suku yang sama sebagai sebahagian daripada langkah memaksimumkan perniagaan kumpulan.

 

Permintaan terhadap produk itu lebih lemah disamping kebimbangan berlakunya kemelesetan global.

 

"Kumpulan itu mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM286.4 juta berbanding keuntunngan sebelum cukai sebanyak RM105.8 juta pada suku yang sama, terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam spread margin keuntungan dan bahagian kerugian daripada syarikat bersekutu, Lotte Chemical USA Corp. 

 

"Bahagian keuntungan LC USA disumbangkan daripada keuntungan sekali sahaja sebanyak RM45.7 juta daripada pelupusan kepentingan ekuiti dalam syarikat operasi teroka bersama selepas cukai dan spread margin yang lebih tinggi," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, persekitaran perniagaan dijangka kekal mencabar dalam masa terdekat dan bekalan produk petrokimia dijangka meningkat memandangkan kapasiti baharu akan datang pada aliran tahun ini.

 

Katanya, sejak kebelakangan ini, harga minyak mentah melonjak selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengumumkan pusingan mengejut pengurangan pengeluaran, menyebabkan harga nafta naik lebih tinggi.

 

"Bank Dunia baru-baru ini telah menaikkan unjuran pertumbuhan global bagi 2023 kepada 2% daripada unjuran Januari sebanyak 1.7% disebabkan prospek yang lebih baik untuk pemulihan China daripada sekatan COVID-19," katanya. - DagangNews.com