Lotte Chemical Titan tandatangani kontrak EPC untuk projek LINE di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Lotte Chemical Titan tandatangani kontrak EPC untuk projek LINE di Indonesia

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Jan - Lotte Chemical Titan Holding Bhd. menerusi unitnya, PT Lotte Chemical Indonesia akan menandatangani kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bagi pakej kerja Kumpulan A membabitkan kemudahan petrokimian bersepadu baharu di Indonesia. 

 

Kemudahan itu yang dikenali sebagai projek Lotte Chemical Indonesia etilena baharu (LINE) dengan pelaburan kira-kira AS$3.95 bilion (RM17 bilion), akan menjadi pemacu pengembangan utama di Asia Tenggara, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Kontrak pembinaan di kawasan darat itu akan ditandatangani dengan PT Hein Global Utama, yang merupakan usaha sama antara Hyundai Engineering Co Ltd dan PT Hans Enjiniring dan Konstruksi, manakala kontrak kejuruteraan dan perolehan luar pesisir akan dijalankan bersama Hyundai.

 

Kerja-kerja EPC tersebut terdiri daripada pembinaan loji cracker dengan kapasiti untuk mengeluarkan, antara lain, 1,000 kilometrik tan setahun (KTA) etilena dan 520 KTA propilena.

 

Nilai kontrak bagi pakej kerja EPC Kumpulan A ialah sebanyak AS$757.2 juta (RM3.1 bilion). 

 

Sementara itu, Lotte Chemical Indonesia juga akan menandatangani kontrak EPC bagi pakej kerja Kumpulan B dan C untuk projek LINE, yang akan meliputi kerja-kerja bagi loji hiliran dan kemudahan infrastruktur lain.  

 

Bagi kontrak pembinaan di darat, ia akan ditandatangani dengan Lotte Engineering & Construction Co Ltd (LEC) dan PT Jaya Teknik Konstruksi manakala kontrak perolehan dan kejuruteraan luar pesisir dijalankan bersama LEC.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lotte Chemical Titan, Park Hyun Chul berkata, pembinaan projek itu akan bermula sepenuhnya tahun ini dan dijangka selesai menjelang 2025. 

 

Katanya, ini berikutan daripada perkembangan terbaharu itu dan semua aspek pembinaan bagi projek LINE di Indonesia (termasuk cracker, loji hiliran, kemudahan infrastruktur) juga sudah bersedia. 

 

Melangkah ke hadapan, tambah beliau, syarikat akan terus menumpukan pada inisiatif pengoptimuman prestasi operasi dan kewangan di tengah-tengah persekitaran luaran yang sangat tidak menentu dan meruncing.

 

"Kami akan terus berwaspada dan meneroka peluang-peluang pertambahan nilai untuk terus memacu pertumbuhan. 

 

"Pada masa sama, kami akan kekal teguh untuk memberi tumpuan kepada strategi pertumbuhan utama kami untuk mencapai visi menjadi syarikat petrokimia peringkat teratas di rantau Asia Tenggara," katanya. - DagangNews.com