LRT diperlukan untuk jadikan Ipoh sebagai bandar wilayah | DagangNews Skip to main content

LRT diperlukan untuk jadikan Ipoh sebagai bandar wilayah

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Nov - Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) amat diperlukan di Ipoh pada masa akan datang kerana ia termaktub dalam perancangan untuk menjadikankannya sebagai bandar wilayah selepas 2035.

 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, bandar itu sedang dirancang untuk dibangunkan menjadi wilayah baharu dan pusat kepada derah lain yang berdekatan seperti Kinta, Kampar, Batang Padang, Cameron Highlands, Kuala Lipis dan Gua Musang.

 

"Ia memang menjadi fokus kita dan harap menjadi penyumbang kepada wilayah tengah dengan negeri Perak mungkin wilayah kepada Pahang barat dan Kelantan selatan," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Meraikan Delegasi Kelab Wartawan Terengganu Ke Bandar Raya Ipoh di taman tema Lost World Of Tambun di sini, lapor Bernama.

 

Sebelum ini dilaporkan 28 stesen LRT dicadangkan dibangunkan di bandar raya Ipoh melibatkan jarak keseluruhan 58 kilometer (km).

 

Draf Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 (Penggantian) yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), cadangan projek mewujudkan perkhidmatan LRT itu melibatkan dua laluan yang masing-masing melalui 16 stesen.

 

Laluan Meru Raya-Ipoh-Batu Gajah meliputi jarak laluan sejauh 30km manakala laluan Bandar Sunway-Ipoh-Simpang Pulai pula sejauh 28km dan kekerapan perkhidmatan adalah selama enam minit.

 

datuk
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin

 

Rumaizi berkata, pembangunan di Ipoh termasuk penyediaan LRT itu seiring dengan perancangan pembangunan tempatan negeri lain seperti bandar raya Pulau Pinang, bandar Iskandar Puteri di Johor, bandar raya Seremban di Negeri Sembilan dan bandar raya Melaka.

 

Beliau berkata, pelbagai pembangunan sedang diusahakan supaya bandar raya Ipoh tidak ketinggalan kerana ia merupakan bandar raya kedua terbesar di wilayah utara selepas Pulau Pinang dan antara terawal memperoleh status bandar raya pada 1988.-Dagangnews.com