LSK akan rombak semula strategi perniagaan LSK Italhouse, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

LSK akan rombak semula strategi perniagaan LSK Italhouse, kata CGS-CIMB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Julai - Lee Swee Kiat Group Berhad (LSK) memeterai surat ikatan penyelesaian dengan Yeow Kian Ting (YKT) berhubung ketidaksempurnaan jaminan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1 juta untuk tahun pertama operasi The Mattress House Sdn Bhd (TMH) dan Amos Italofa House Sdn Bhd (AIH) sejak tarikh pengambilalihan.

 

Pada 27 Jun 2019, anak syarikat LSK iaitu LSK Italhouse Sdn Bhd (LSKIH) bercadang mengambil alih aset perniagaan bilik pameran runcit perabot Italhouse daripada TMH dan AIH dengan harga RM6.9 juta.

 

TMH dan AIH menjalankan perniagaan runcit  bilik pameran perabot dengan tujuh cawangan di seluruh Johor.

 

CGS-CIMB Research berkata, LSK akan mendapat manfaat daripada kerugian cukai yang tidak diserap daripada LSKIH selain mempunyai kawalan penuh ke atas LSKIH (baki tiga cawangan masih beroperasi).

 

"LSK juga berhasrat untuk merombak strategi perniagaan LSKIH pada masa hadapan, didorong oleh permintaan jangka panjang yang lebih tinggi untuk perabot daripada pembukaan semula sempadan Singapura-Johor serta peningkatan perbelanjaan pengguna," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pandemik COVID-19 memberi impak kepada operasi dan perniagaan LSKIH yang sebelum ini menyasarkan kumpulan pengguna termasuk pekerja tempatan di Singapura.

 

Buat masa sekarang, LSKIH mempunyai baki hutang tertunggak RM2.4 juta kepada YKT, TMH dan AIH (34.8% daripada harga belian) manakala YKT, TMH dan AIH mempunyai hutang RM0.6 juta kepada LSKIH untuk pembekalan barang.

 

"Kedua-dua pembeli (LSKIH) dan penjual (YTK, TMH dan AIH) bersetuju bahawa baki harga belian akhir bagi pemerolehan RM2.4 juta dan obligasi YTK di bawah jaminan keuntungan boleh diketepikan dengan syarat YTK akan memindahkan 30% pegangan sahamnya kepada LSKIH pada harga pertimbangan RM10.00 sesaham," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran RM1.63. - DagangNews.com