Luluskan Bajet 2021 bagi tangani COVID-19, kata Pengarah Belanjawan Negara | DagangNews Skip to main content

Luluskan Bajet 2021 bagi tangani COVID-19, kata Pengarah Belanjawan Negara

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Penting untuk Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada dua minggu lalu bagi membolehkan kerajaan menangani penularan COVID-19 selain memastikan operasi sedia ada tidak terjejas.

 

Jika tidak, Malaysia bakal berdepan beberapa implikasi termasuk kekangan perbelanjaan kewangan bermula Januari 2021.

 

Tegas Pengarah Belanjawan Negara, Johan Mahmood Merican, Malaysia tidak mampu untuk mewujudkan risiko terhadap usaha mengekang penularan COVID-19 sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

 

"Ia bukan sahaja (membabitkan) isu barisan hadapan menangani COVID-19 tetapi juga operasi dan perkhidmatan agensi-agensi kerajaan lainnya. 

 

Johan Mahmood Merican
Johan Mahmood Merican

 

"Oleh itu, adalah penting untuk Belanjawan 2021 ini diluluskan dan dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan usaha memerangi COVID-19 selain pemulihan ekonomi yang lancar demi kesejahteraan rakyat untuk mendapatkan peluang pekerjaan serta pendapatan," katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, menurut laporan Bernama. 

 

Dewan Rakyat dijangka mengundi Belanjawan 2021 pada 25 November ini.

 

Tambah Johan, Belanjawan 2021 dirangka dengan mengimbangi aspek kesihatan, kehidupan serta mata pencarian rakyat. 

 

Ini berikutan belanjawan memerlukan sumber yang mencukupi bagi memastikan usaha-usaha yang telah dirancang tidak terjejas selain kegiatan ekonomi dapat diteruskan. 

 

Jelas Johan, disebabkan itu tumpuan diberikan terhadap golongan rentan atau mudah terjejas. 

 

Pada masa sama, kerajaan menerusi Belanjawan 2021 berhasrat untuk tidak mengabaikan golongan M40 demi kelangsungan kehidupan mereka. 

 

Antaranya termasuk mengurangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada 11% kepada 9% bermula Januari 2021. - DagangNews.com