Lupus pegangan dalam Emery, positif kepada Sime Darby Plantation - AmInvest | DagangNews Skip to main content

Lupus pegangan dalam Emery, positif kepada Sime Darby Plantation - AmInvest

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 0gos - AmInvestment Bank Research positif terhadap langkah Sime Darby Plantation Bhd. melupuskan pegangan dalam Emery Oleochemicals (M) Sdn. Bhd. dan Emery Specialty Chemicals Sdn Bhd. (Meery Group).

 

Ini kerana katanya, Emery Group tidak mempamerkan prestasi yang memberangsangkan dengan kerugian bersih Sime Darby Plantation mencecah RM30 juta pada separuh pertama 2021.

 

Katanya, pada tahun kewangan 2020, rosot nilai Sime Darby Plantation ke atas pelaburannya dalam Emery Group berjumlah RM236 juta.

 

Setakat 31 Disember 2020, nilai yang dibawa Emery Group dianggarkan sebanyak RM157.9 juta.

 

"Bagaimanapun, kami tidak mengetahui berapa banyak kerugian yang berpunca dari rantau Asia Pasifik," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Sime Darby Plantation dengan nilai saksama pada RM4.88 sesaham.

 

Semalam, Sime Darby Plantation dan PTTGC International Private Limited (GC Inter) telah memeterai perjanjian untuk melupuskan 100% kepentingan ekuiti kolektif mereka dalam perniagaan Asia Pasifik Emery Oleochemicals (M) Sdn Bhd dan Emery Specialty Chemicals Sdn Bhd kepada Edenor Technology Sdn Bhd bernilai RM38 juta.

 

Emery Oleochemicals, satu daripada pengeluar kimia berasaskan bahan semula jadi terkemuka dunia, merupakan usaha sama 50:50 antara PTT Global Chemical dan SDP.

 

Pelupusan ini adalah bergantung kepada penstrukturan semula Emery Group kepada kumpulan tersendiri yang berasingan dengan perniagaan Asia Pasifik, dan perniagaan Amerika Utara dan Eropah.

 

Selepas penstrukturan semula, perniagaan Asia Pasifik Emery Group akan kekal di bawah Emery Oleochemicals (EOM) dan Emery Specialty Chemicals, manakala perniagaan di Amerika Utara dan Eropah, yang kedua-duanya dipegang oleh Emery Oleochemicals UK Limited, akan dipindahkan dari EOM bagi pegangan langsung oleh SDP dan GC Inter berasaskan 50:50.

 

Edenor Technology adalah syarikat usaha sama 50:50 diperbadankan bersama oleh Mega First Corporation Bhd (MFCB) dan 9M Technologies Sdn Bhd untuk melaksanakan cadangan pengambilalihan itu.

 

MFCB merupakan syarikat senaraian awam Malaysia di bawah sektor tenaga dengan segmen utama dalam tenaga boleh diperbaharui, penyumberan, pembungkusan, pegangan pelaburan dan sebagainya, manakala 9M Technologies adalah syarikat sendirian berhad Malaysia yang mempunyai perniagaan pelaburan, penggabungan dan pengambilalihan, dan perkhidmatan nasihat teknikal. - DagangNews.com