LYC Healthcare ambil alih 55% pegangan ekuiti Elite Dental Team bernilai RM5.5 juta | DagangNews Skip to main content

LYC Healthcare ambil alih 55% pegangan ekuiti Elite Dental Team bernilai RM5.5 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mei - LYC Healthcare Berhad menerusi anak syarikatnya, LYC Dental & Aesthetic Holdings Sdn. Bhd. (LYC D&A) melengkapkan pengambilalihan 55% pegangan ekuiti dalam Elite Dental Team Sdn. Bhd. (EDTSB) dengan tunai RM5.5 juta.

 

Pengambilalihan itu menyaksikan LYC memiliki 30 klinik pergigian di bawah kendalian mereka.

 

Ini termasuk tiga klinik di bawah KL Dental yang juga telah diambil alih pada Oktober 2022 dan satu klinik pergigian yang telah ditubuhkan selepas pengambilalihan di Sunway Velocity Mall di Cheras.

 

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LYC, David Sui Diong Hoe berkata, pemerolehan itu selaras dengan matlamat mereka untuk membina ekosistem penjagaan kesihatan yang menyokong semua peringkat usia.

 

Katanya, penambahan klinik EDTSB itu meningkatkan kehadiran pasaran platform pergigian kumpulan dan mereka bersedia untuk mendapat manfaat daripada peningkatan perbelanjaan di kalangan rakyat Malaysia untuk perkhidmatan berkaitan kecantikan.

 

"EDTSB adalah salah satu kumpulan pergigian yang paling pesat berkembang di Malaysia dan merupakan antara enam kumpulan terbesar di Malaysia dari segi bilangan klinik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Klinik itu menyediakan perlbagai perkhidmatan termasuk khidmat nasihat, rawatan pergigian termasuk pencegahan, pergigian am, pergigian kanak-kanak, rawatan penyakit gusi, pergigian pemulihan dan pelbagai perkhidmatan lain termasuk khidmat pergigian kosmetik.

 

David berkata, EDTSB mengendalikan 26 klinik pergigian di seluruh Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, dan Sabah.

 

Katanya, jenama pergigian yang beroperasi di bawah EDTSB ialah PrimeCare Dental Clinic, Signature PrimeCare Dental, Lite Dental, Phi Dental dan Quay Dental.

 

"Kami menyasarkan untuk terus berkembang menerusi penubuhan cawangan klinik baharu dan membawa masuk lebih banyak perkhidmatan dan teknologi pergigian untuk menarik lebih ramai pelanggan.

 

"Klinik keempat di bawah KL Dental dijadualkan dibuka pada pertengahan 2023, meningkatkan lagi jumlah rangkaian kami,” katanya. - DagangNews.com