KUALA LUMPUR 8 Nov – LYC Healthcare Bhd. bercadang untuk mengambil alih 70% kepentingan dalam Clinical Nutrition Intl (M) Sdn. Bhd. bernilai RM2.24 juta yang akan dipenuhi sepenuhnya melalui tunai.
Cadangan pengambilalihan itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LYC, David Sui Diong Hoe berkata, cadangan itu adalah tepat pada masanya dalam usaha kumpulan meningkatkan kehadiran dalam pasaran yang semakin berkembang sejajar dengan peningkatan kesedaran dan penggunaan suplemen kesihatan.
Katanya, Clinical Nutrition mempunyai dua pemilikan strain probiotik yang bernilai telah menunjukkan kejayaan memberi manfaat kepada kesihatan secara menyeluruh.
"Penyertaan Clinical Nutrition akan menyokong pertumbuhan perniagaan nutraseutikal LYC yang didorong terutamanya oleh Aqurate Ingredients Intl (M) Sdn. Bhd.
"Terdapat banyak peluang untuk kami menjana kewangan dengan memanfaatkan rangkaian jualan Aqurate yang kukuh dan bekerjasama dengan pihak asing untuk pengedaran di peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Clinical Nutrition terlibat terutamanya dalam pembekalan ramuan nutraseutikal dan memiliki 50% pegangan saham dalam dua strain probiotik proprietari iaitu Lactobacillus Plantarum DR7 (DR7) dan Lactobacillus Fermentum DR9 (DR9), yang mana DR7 telah berjaya dikomersialkan dan dipatenkan.
Ia juga terlibat dalam penggubalan dan penjualan 'Sweden Farm Instant Oat Drink', jenama yang berusia lapan tahun untuk mengurangkan kolesterol dan menurunkan kenaikan glukosa darah, yang dijual di farmasi terpilih dan saluran dalam talian di Malaysia.
LYC akan menyelaraskan kepentingan dalam semua syarikat nutraseutikalnya di bawah LYC Nutrihealth Sdn. Bhd. (LYCN), anak syarikat milik penuh di bawah LYC Medicare Singapore Pte. Ltd. (LYC Medicare SG).
Pada masa sama, LYCN juga akan memeterai perjanjian 'put option' dengan vendor Clinical Nutrition untuk baki 30% pegangan saham yang akan dilaksanakan mulai 28 September 2024 dan akan tamat tempoh sebelum 27 September 2027. - DagangNews.com