MAA naikkan unjuran jumlah jualan kenderaan 2024 kepada 765,000 unit | DagangNews Skip to main content

MAA naikkan unjuran jumlah jualan kenderaan 2024 kepada 765,000 unit

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai -  Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyemak semula unjuran jualan kenderaan untuk tahun 2024 kepada 765,000 buah daripada 740,000 buah sebelumnya.

 

Walaupun disemak lebih tinggi, ramalan baharu itu 4% lebih rendah daripada jualan tertinggi sebanyak 799,731 unit yang dicapai pada 2023.

 

Menurut MAA, persatuan itu mengunjurkan jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) bagi kenderaan penumpang akan menyusut kira-kira 3% kepada 696,150 unit, manakala TIV untuk kenderaan komersial dijangka menurun dengan lebih ketara, kira-kira 14.5% kepada 68,850 unit.

Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, unjuran TIV 2024 disemak semula dengan mengambil kira faktor ekonomi domestic yang berdaya tahan.

 

Beliau berkata, kerajaan optimis mengenai keluaran dalam negari kasar (KDNK), menjangkakan dalam julat ramalan rasmi 4% hingga 5%.

 

Keputusan Bank Negara untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% dalam mesyuarat Jawatan kuasa Dasar Monetari baru-baru ini bakal merangsang perbelanjaan domestik termasuk barangan besar seperti kereta baharu," katanya pada sidang media sempena ulasan persatuan tentang jualan separuh pertama tahun dan tinjauan untuk separuh kedua.

 

Sementara itu, faktor pesanan tertunggak yang sihat juga menyumbang kepada terutamanya dalam pasaran kereta penumpang segmen A, menunjukkan permintaan pelanggan yang akan terus memacu jualan. 

 

Mohd Shamsor juga berkata pengenalan pemain baharu dalam pasaran, pelancaran model baharu yang memiliki ciri termaju juga dijangka meningkatkan permintaan.

 

“Ini termasuk model baharu dan mampu milik dengan ciri baharu untuk kedua-dua kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan semua jenis kenderaan elektrik (xEV),” tambahnya.

 

Selain itu, beliau berkata ahli MAA akan meneruskan strategi promosi agresif, menyediakan perkhidmatan nilai tambah dan mendahului pilihan pelanggan.

 

Usaha itu dijangka meningkatkan permintaan dan menyumbang secara positif kepada keseluruhan ramalan jualan.- DagangNews.com