MAB, AirAsia bergabung? Sesuatu yang sukar, kata Khazanah | DagangNews Skip to main content

MAB, AirAsia bergabung? Sesuatu yang sukar, kata Khazanah

KUALA LUMPUR 27 Julai -  Penggabungan kedua-dua syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Kumpulan AirAsia Berhad (AirAsia) di bawah satu naungan dijangka tidak mungkin berlaku. 

Ini adalah berikutan penyatuan kedua-duanya sukar untuk dilakukan, jelas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam program Money Matters oleh TV3.

Katanya, kedua-dua syarikat mempunyai budaya kerja serta model perniagaan yang berbeza dan disebabkan itu penggabungan kedua-duanya sukar untuk dilaksanakan. 

 

Datuk Shahril
Shahril Ridza Ridzuan

 

“Malaysia memerlukan pengendali kos rendah dan bernilai tinggi seperti MAB untuk menggabungkan kedua-duanya berikutan beberapa segmen pasaran perlu diambil kira,” kata beliau. 

Pada April lalu, Reuters melaporkan kedua-dua pengurusan syarikat penerbangan berkenaan mungkin digabungkan sebagai langkah mendepani krisis kewangan yang dibebani industri penerbangan negara akibat COVID-19. 

Jelas laporan berkenaan, perbincangan segera dijangka diadakan untuk mengeluarkan beberapa pilihan bagi membantu industri penerbangan negara. 

Sementara itu, Shahril percaya bahawa pelbagai syarikat penerbangan perlu dikendalikan oleh Malaysia selain menawarkan pelbagai pilihan penerbangan untuk pelanggan.

Jelasnya, lebih banyak syarikat penerbangan akan membolehkan pelanggan membuat pelbagai pilihan berdasarkan keperluan dan bajet dimiliki. 

“Oleh itu, saya fikir bagi strategi jangka panjang untuk Malaysia, tawaran pelbagai pilihan adalah penting, bukan sahaja untuk rakyat negara ini, malah pelancong luar untuk terbang ke Malaysia,” katanya. 

Sebelum penularan COVID-19 menjejaskan pelbagai sektor ekonomi negara, MAB telah berdepan dengan krisis kewangan untuk tempoh beberapa tahun.

Dalam pada itu, AirAsia pula mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM803.85 juta pada suku pertama tahun ini yang berakhir 31 Mac lalu.DagangNews.com