Mac 2021 : Malaysia catat eksport getah asli meningkat 7.7% | DagangNews Skip to main content

Mac 2021 : Malaysia catat eksport getah asli meningkat 7.7%

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Mei - Malaysia menyaksikan eksport getah asli negara meningkat 7.7% pada Mac 2021 kepada 58,852 tan metrik daripada 54,632 tan metrik pada Februari 2021. 

 

Namun, pengeluaran getah asli negara menurun 27.6% pada Mac 2021 kepada 36,068 tan metrik berbanding 49,840 tan metrik pada bulan sebelumnya, menurut laporan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

 

Sebaliknya, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan peningkatan 4.5%.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli, menyumbang 51.8% daripada jumlah keseluruhan eksport pada March 2021 diikuti Jerman (6.4%), Finland (5.3%), Amerika Syarikat (4.8%) dan Brazil (2.3%). 

 

“Sarung tangan getah merupakan item eksport utama dengan nilai eksport RM6.4 billion pada Mac 2021, meningkat sebanyak 9.4% berbanding Februari 2021 (RM5.8 billion). 

 

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin

 

“Amerika Syarikat (AS) adalah negara pengimport tertinggi sarung tangan getah diikuti Jerman dan China.

 

“Stok getah asli menurun 1.6% pada Mac 2021 kepada 281,672 tan metrik berbanding 286,117 tan metrik pada Februari 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Sementara itu, harga purata bagi Lateks Pekat dan Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) bagi Mac 2021 merupakan yang tertinggi dicatatkan pada suku pertama tahun semasa (1Q21). 

 

Jelas Mohd Uzir, harga purata bagi Lateks Pekat merekodkan peningkatan kepada 680.20 sen sekilogram berbanding Februari 2021 (587.91 sen sekilogram). 

 

“G.M.M. 20 turut menunjukkan peningkatan daripada 672.68 sen sekilogram kepada 707.89 sen sekilogram bagi tempoh yang sama,” katanya lagi.

 

Dalam pada itu, DoSM juga melaporkan bahawa penggunaan getah asli di peringkat domestik pada Mac 2021 ialah 49,718 tan metrik, meningkat sebanyak 11.2% berbanding bulan sebelumnya. 

 

Penggunaan getah asli dalam industri pembuatan sarung tangan getah terus mendahului dengan penggunaan sebanyak 37,435 tan metrik atau 75.3% daripada jumlah penggunaan domestik pada Mac 2021. - DagangNews.com