MAFI perlu bincang dengan kerajaan negeri selesai isu Lesen Pendudukan Sementara usahawan tani - PM | DagangNews Skip to main content

MAFI perlu bincang dengan kerajaan negeri selesai isu Lesen Pendudukan Sementara usahawan tani - PM

KUALA LUMPUR 24 Mac - Kerajaan bersetuju supaya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengadakan perbincangan bersama kerajan-kerajaan negeri bagi menangani masalah tempoh Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dihadapi oleh usahawan-usahawan tani.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bertujuan agar kerajaan-kerajaan negeri dapat memanjangkan tempoh sewaan atau pakajan bagi mewajarkan pelaksanaan projek-projek pertanian berdaya maju.

 

Beliau berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) mengambil maklum hala tuju sektor agro makanan negara yang telah digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan bersetuju memberi fokus terhadap usaha modenisasi dan menggalak pertanian pintar.

 

"Perbincangan adalah melibatkan pembentangan-pembentangan oleh MAFI, Universiti Putra Malaysia  (UPM) dan Syarikat Aerodyne Group bersama ahli-ahli EAC dan tokoh usahawan tani Malaysia.

 

"Mesyuarat bersetuju agar ketiga-tiga kertas yang dibentangkan iaitu Cadangan Modenisasi dan Pertanian Pintar Melalui Pemerkasaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Pembangunan Bakat Usahawan Tani Negara 2022-2027 dan Transformasi Pertanian Malaysia dinilai secara bersekali sebagai satu inisiatif komprehensif mengukuhkan sektor pertanian negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata,  mesyuarat juga menetapkan bahawa Sekretariat EAC; Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Kewangan (MOF) dan MAFImengambil tindakan selanjutnya bagi melaksanakan cadangan kerjasama awam swasta yang dibentangkan oleh Aerodyne Group melalui kertas  pembentangan Transformasi Pertanian Malaysia dan keperluan tanah berkeluasan 40 hektar bagi Projek Perintis.

 

"Melangkah kehadapan, kita berharap agar sektor tani dan industri pengeluaran makanan negara dapat bergerak maju dan memacu usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan negara dan Keluarga Malaysia," katanya. - DagangNews.com