MAG bekerjasama dengan syarikat teknologi di Norway, Chooose bangunkan penyelesaian perisian iklim | DagangNews Skip to main content

MAG bekerjasama dengan syarikat teknologi di Norway, Chooose bangunkan penyelesaian perisian iklim

KUALA LUMPUR 31 Mac - Firma induk syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG) menjalin kerjasama bersama syarikat teknologi iklim, Chooose yang berpangkalan di Norway untuk membangunkan penyelesaian perisian iklim.

 

MAG berkata, kerjasama bersama Chooose itu merupakan langkah menyokong komitmennya dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan pelan tindakan kemampanan kumpulan.

 

Menurutnya, menerusi penyematan penyelesaian yang dikuasakan Chooose secara terus ke dalam aliran tempahan pelanggan, pihaknya dapat berkongsi pelepasan karbon sebenar bagi setiap perjalanan.

 

“Usaha ini juga dapat mendidik pelanggan mengenai impak karbon mereka dengan pengiraan tepat mengikut piawaian industri terkini,” kata MAG dalam satu kenyataan.

 

Mengulas lanjut MAG berkata, pelanggan kemudiannya boleh memilih untuk menangani pelepasan karbon bagi penerbangan mereka dan menyokong projek karbon berkualiti tinggi dengan membeli pengimbangan karbon yang disahkan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 

Tambahnya, susulan transaksi itu, Chooose akan memberikan sijil yang mengesahkan pembelian pengimbangan iklim oleh pelanggan.

 

Kumpulan syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan, selain itu, perkongsian berkenaan akan berkembang untuk meliputi pembelian bahan api penerbangan mampan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Kemampanan Kumpulan, Philip See berkata, MAG menyedari kepentingan peranannya dalam mewujudkan masa depan yang mampan untuk industri penerbangan.

 

"Kami komited bukan sahaja untuk mengurangkan jejak karbon kami malah juga bagi penyertaan aktif berterusan pelanggan kami supaya menjadi sebahagian daripada usaha penting ini, ke arah merealisasikan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050," katanya. - DagangNews.com