MAGGI perkenal mi bijian penuh tanpa goreng Nutri-licious lebih sihat | DagangNews Skip to main content

MAGGI perkenal mi bijian penuh tanpa goreng Nutri-licious lebih sihat

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - MAGGI memperkenalkan rangkaian mi segera baharu, MAGGI Nutri-licious, khusus kepada pengguna yang mencari pilihan lebih sihat untuk dinikmati. 

 

MAGGI Nutri-licious menjadi mi segera pertama di Malaysia yang diiktiraf dengan logo Pilihan Lebih Sihat. Ini merupakan satu inisiatif pelabelan bahagian hadapan pembungkusan daripada Kementerian Kesihatan bagi pilihan makanan lebih sihat. 


 
MAGGI Nutri-licious menawarkan dua pilihan berinspirasikan Itali, Aglio Olio dan Tomato Delight. Kedua-dua mi segera ini diperbuat daripada tepung gandum bijian penuh dari Australia. 

 

Tomato Delight merupakan gabungan perisa masam manis pes tomato, manakala Aglio Olio pula menggunakan minyak bawang putih menyelerakan untuk membangkitkan selera penggemar. 

 

Mi itu dihasilkan melalui teknologi pengeringan udara dan tanpa digoreng untuk mengurangkan kandungan lemak dan mencapai tekstur mi yang lebih kenyal. Selain daripada kebaikan bijian penuh, mi itu juga menjadi sumber protein, serat dan vitamin B6 bagi memberikan pilihan yang lebih sihat untuk seisi keluarga.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, MAGGI Nutri-licious diperkenalkan tepat pada masanya ketika trend makanan dan gaya hidup sihat menjadi semakin popular. 

 

“Makanan ruji bagi rakyat Malaysia kebanyakannya ialah nasi dan mi. Menyedari tentang perubahan trend kesihatan dan peningkatan bilangan pengguna yang peka dengan kesihatan mereka, maka kami menambah baik mi segera kegemaran Malaysia dengan menawarkan buat pertama kali, rangkaian mi segera MAGGI lebih sihat dan dipenuhi nutrien penting seperti protein serta serat.

 

 

maggi
Juan Aranols menunjukkan MAGGI Nutri-licious yang menawarkan dua pilihan berinspirasikan Itali, Aglio Olio dan Tomato Delight.

 

 

"Selaras dengan janji jenama kami, Anda dan MAGGI Sajikan Kelainan, MAGGI terus menyokong pemilihan makanan lebih sihat dan lebih enak melalui inovasi produk kami yang terkini selepas mendapat gambaran tentang gaya hidup, tabiat penggunaan dan trend pemakanan mereka. 

 

"Pengguna yang mencari hidangan lazat dengan harga berpatutan serta mudah disediakan kini mempunyai pilihan lebih sihat untuk dinikmati. Mereka juga digalakkan menambah sayur-sayuran dan sumber protein kegemaran seperti udang, sotong, daging atau telur untuk hidangan seimbang dan lebih berkhasiat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

maggi

 

 

Mi yang baharu ini menawarkan cita rasa Eropah melalui dua pilihan ala Itali yang enak dan belum pernah dibuat sebelum ini. 

 

Sebagai langkah permulaan jenama MAGGI di Malaysia, MAGGI Nutri-licious menggunakan 30% pembungkusan plastik boleh kitar semula untuk bungkusan luaran bagi menyokong usaha memelihara alam sekitar. 

 

Usaha ini mengukuhkan lagi komitmen Nestlé dalam memenuhi matlamat syarikat untuk mengurangkan penggunaan plastik yang baharu sebanyak satu pertiga menjelang tahun 2025. - DagangNews.com