Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Okt. - Pengendali Geran Padanan Impak Sosial (SIM), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) menawarkan insentif cukai hingga 10% kepada penderma yang menyumbang kepada aktiviti pendanaan awam perusahaan sosial bagi mendepani cabaran dan persekitaran semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzeleira Abu Bakar berkata, penderma dalam kalangan individu, korporat atau perniagaan yang membuat sumbangan kepada Geran SIM antara 1 Ogos 2020 hingga 31 Julai 2021 layak menerima insentif cukai berkenaan daripada pendapatan agreget masing-masing.
"Berbanding pemberian amal atau sumbangan secara one-off, individu atau perniagaan dapat menyalurkan wang mereka untuk menyokong penyelesaian daripada perusahaan sosial untuk tujuan kesinambungan.
"Kami ingin memupuk budaya 'Doing Good' sebagai norma baharu dan membantu membangunkan kembali kehidupan masyarakat yang berkemungkinan besar terkesan akibat wabak COVID-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perusahaan sosial merupakan perniagaan yang secara proaktif mencipta kesan sosial atau persekitaran positif yang berterusan dalam aspek kewangan.
Geran SIM pula merupakan geran yang diumumkan di bawah PENJANA sebagai inisiatif lonjakan Perusahaan Sosial (SE) tempatan dan perniagaan sosial lain bagi mempertahankan inisiatif dan program yang dijalankan, memanfaatkan kemampuan, mengumpul dana, meningkatkan kesedaran masyarakat dalam inovasi sosial untuk persekitaran yang lebih baik.
Tambah Dzeleira, pendanaan awam ditawarkan dalam enam platform seperti GIVE.asia, LaunchGood, NGOhub, Sedunia, SimpleGiving dan Sciobiz yang sedang dijalankan oleh Alliance Islamic Bank untuk memberi sokongan kepada perusahaan sosial bagi mengumpulkan dana.
Individu dan perniagaan boleh mengunjungi kesemua platform berkenaan untuk memilih pelbagai projek atau inisiatif yang ingin disokong.
"Kami yakin pemberian SIM dan insentif cukai untuk penderma atau penyumbang ini akan mempromosikan perniagaan yang inklusif dan bertanggungjawab dalam memberi kesan positif kepada masyarakat Malaysia.
"Kami juga percaya dengan lebih banyak perkongsian seperti ini akan dapat membangunkan kembali kehidupan masyarakat yang terkesan akibat COVID-19. Dengan kolaborasi yang lebih besar akan dapat mendorong lebih banyak kelahiran perusahaan sosial," jelasnya lagi. - DagangNews.com