MaGICARE tawar pakej kesejahteraan untuk syarikat pemula niaga | DagangNews Skip to main content

MaGICARE tawar pakej kesejahteraan untuk syarikat pemula niaga



KUALA LUMPUR 21 Sept - Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) melancarkan MaGICARE, rangkaian inisiatif yang menawarkan sumber dan bantuan pemulihan dalam bidang-bidang perniagaan, kewangan dan kesejahteraan peribadi untuk komuniti syarikat pemula niaga.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Amiruddin Abdul Shukor berkata, antara lain, ahli komuniti pemula niaga akan dapat mengakses direktori bantuan kewangan, geran dan program pendanaan serta sumber bantuan tersedia di laman MaGICARE.

 

Beliau berkata, MaGICARE juga menawarkan talian bantuan 24/7 di bawah Program Komuniti Naluri bagi syarikat pemula niaga, yang dikendalikan oleh pasukan psikologi klinikal dan kaunselor berdaftar.

 

Menurutnya, mereka boleh mengakses webinar yang dianjurkan dan penilaian kesejahteraan emosi yang dikendalikan oleh ahli psikologi klinikal mengenai topik kesejahteraan mental dan fizikal.

 

“Syarikat pemula niaga yang menyusuri pandemik ini dipenuhi dengan pelbagai isu sambil berusaha memastikan perniagaan mereka terus berjalan dan juga perlu bergelut dengan tahap kesihatan mental dan kesejahteraan yang menurun, yang memburukkan lagi masalah kewangan dan mengakibatkan  kerugian produktiviti yang besar.

 

“Justeru, kami berharap MaGICARE dapat membantu komuniti syarikat pemula niaga untuk menghubungkan, menyesuaikan, memulihkan dan meningkatkan daya tahan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Syarikat pemula niaga juga boleh memanfaatkan pelbagai program peningkatan kapasiti dan sumber e-pembelajaran -- termasuk kem bina diri dalam talian, keperluan syarikat pemula niaga, latihan industri dan Kampus Pemula Niaga -- yang kini boleh diakses secara percuma atau dengan harga subsidi.

 

 

Amiruddin Abdul Shukor
Amiruddin Abdul Shukor

 

 

Selain itu, MaGIC juga menawarkan pengecualian sewa selama lima bulan ruang kerjanya di Cyberjaya dan Kuching untuk membantu meringankan aliran tunai usahawan.

 

Emel kepada enquiries@mymagic.my bagi maklumat lanjut. - DagangNews.com